KES kanak-kanak terjatuh dari pangsapuri dan rumah bertingkat semakin membimbangkan dan punca utama kejadian itu bukan sekadar kecuaian ibu bapa, tetapi kegagalan rekabentuk yang tidak mengambil kira keselamatan kanak-kanak.
Insiden kanak-kanak terjatuh dari pangsapuri antaranya melibatkan kes tragis seorang budak lelaki berusia tiga tahun yang maut terjatuh dari tingkat enam di Kota Damansara, Ogos lalu.
Selain itu, terdapat kes lain seperti seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang cedera selepas terjatuh dari tingkat tujuh di Selayang dan kes tragis seorang budak lelaki berusia dua tahun yang maut terjatuh dari sebuah pangsapuri di Putrajaya, Mei lalu.
Kebanyakan kes berlaku ketika ibu bapa meninggalkan anak buat seketika, sementara kanak-kanak yang terbangun dari tidur mula mencari-cari ibu bapa sebelum menuju ke tingkap atau balkoni.
Kanak-kanak apabila bangun, mereka tidak berfikir panjang dengan memanjat atau keluar ke balkoni tanpa sedar risiko bahaya yang menanti. Pengarah Urusan Laras Architects sdn bhd, Ar. Hamka Abu Dardak berkata, ramai tidak sedar mengenai tingkap, railing atau grill yang dipasang di rumah sebenarnya tidak direka untuk menghalang risiko berkenaan.
Walaupun Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 1984 menetapkan jarak maksimum 75 millimeter (mm) antara palang besi, ia belum cukup selamat.
“Kepala budak boleh lepas walaupun 100 mm. Apabila kepala lepas, badan pasti lepas. Ini asas anatomi manusia. Jadi sekalipun mematuhi undang-undang, rekabentuk itu tetap berisiko,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berpengalaman selama 30 tahun dalam reka bentuk kediaman, Hamka berkata, terdapat jeriji di Malaysia menggunakan palang melintang yang sebenarnya bertindak seperti tangga kecil.
Di Australia, katanya, railing melintang memang tidak dibenarkan kerana kanak-kanak boleh memanjat seperti tangga. Malaysia belum mengharamkannya, tetapi sebagai pereka bentuk perlu lebih peka.
Walaupun UBBL menetapkan ketinggian minimum railing ialah 1.0 meter, Hamka berpendapat ia tidak lagi mencukupi, terutama di pangsapuri dan koridor tingkat tinggi.
“Sebagai arkitek, saya cadangkan dinaikkan ke 1.2 meter. Di kawasan budak selalu lalu, railing lebih tinggi boleh menghalang capaian dan panjatan,” katanya.
Selain railing, beliau berkata, tingkap juga menjadi punca utama kemalangan di kediaman bertingkat.
“Ada penghuni yang tidak memasang grill kerana tinggal di tingkat tinggi dan beranggapan tiada pencuri. Tingkap sememangnya mempunyai ‘window stay’ iaitu sistem penahan yang mengehadkan bukaan.
“Perabot seperti katil juga tidak boleh diletakkan betul-betul di bawah tingkap, kerana ia memberi peluang kepada kanak-kanak memanjat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegur trend penggunaan panel kaca di pusat beli-belah dan kediaman semata-mata atas alasan estetik.
“Ramai hanya fikir cantik, tetapi tidak praktikal. Ada panel kaca yang dipasang tanpa stiffener sehingga terpaksa ditampal pelekat ‘Jangan bersandar’.
“Apabila railing pun tak boleh bersandar, itu adalah tanda reka bentuk gagal,” katanya.
Jelasnya, laminated glass jauh lebih selamat berbanding tempered glass, kerana ia tidak berderai dan tidak meninggalkan ruang kosong apabila pecah.
Bagaimanapun, Malaysia sebenarnya antara negara yang paling awal dan paling ketat memperkenalkan peraturan bangunan.
Malah, pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kini berlatarkan jurusan teknikal dan profesional dalam menyemak pelan bangunan.
“Sejak 1984, kita ada UBBL, rujukan yang sangat lengkap. Ditambah pula Malaysian Standard (MS), kita sebenarnya mempunyai sistem yang sangat baik. Isunya ialah bagaimana pereka bentuk mentafsir dan melaksanakannya,” jelasnya.
Beliau menekankan mereka bentuk bukanlah sekadar memenuhi syarat undang-undang atau mengejar kecantikan visual.
Sebagai arkitek, katanya, perlu mempunyai nilai kebertanggungjawaban dan jangan hanya mengejar estetika atau cuba mencari loophole untuk menjimatkan kos.
“Rekabentuk mesti logikal, selamat dan tahan lama terutamanya apabila melibatkan nyawa kanak-kanak.
“Kemalangan kanak-kanak jatuh dari rumah tinggi bukan hanya berpunca daripada kecuaian, tetapi juga aspek reka bentuk yang tidak mengambil kira tabiat dan fizikal kanak-kanak.
“Jika kita boleh tambah 20 sentimeter (cm) ketinggian railing atau kecilkan jarak grid, kita mungkin sudah menyelamatkan satu nyawa,” katanya.-UTUSAN










