Saga MC3 berpotensi muncul sebagai model terkemuka di pasaran ASEAN - Utusan Malaysia

Saga MC3 berpotensi muncul sebagai model terkemuka di pasaran ASEAN

LI Chunrong (tengah) ketika menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Proton Tech Showcase di Proton Auditorium di sini, semalam. - UTUSAN/ ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton menyasarkan model terbaharunya, Saga MC3 berpotensi menjadi model segmen A terkemuka di pasaran ASEAN pada tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, setakat hari ini, model Saga MC3 telah menerima lebih daripada 30,000 tempahan sejak pelancarannya minggu lalu.

“Mengenai model kenderaan elektrik (EV) syarikat, model e.MAS 7 telah menjadi EV terlaris di Malaysia pada 2025 selepas dilancarkan pada Jun 2024, dengan 8,239 unit terjual sehingga November 2025.

“Proton e.MAS 5 menjadi EV mampu milik pertama Malaysia, mencatat lebih 10,000 tempahan dalam tempoh singkat.

“e.MAS berada di tengah-tengah peta hala tuju EV Proton. Kami percaya jenama e.MAS akan menjadi jenama EV nombor satu Malaysia tidak lama lagi,” katanya dalam ucapan semasa majlis pelancaran Proton Technology Showcase di sini, semalam.

Dalam majlis itu, Proton Technology Showcase memberi peluang kepada pengunjung untuk memahami teknologi di sebalik model-model terbaharu Proton.

Pameran ini menghimpunkan pencapaian kejuruteraan paling signifikan Proton di bawah satu bumbung, membolehkan pengunjung mengalami penemuan terkini dalam elektrifikasi, pembangunan rangkaian kuasa dan kesinambungan pintar.

Antara tarikan utama pameran ialah platform Global Modular Architecture (GMA), Short Blade Battery, serta enjin dan transmisi Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) terkini Proton.

Pameran ketersambungan pintar oleh Aco Tech Sdn Bhd turut menampilkan teknologi augmented reality (AR) dan kecerdasan Buatan (AI).

Model-model Proton terkini seperti Proton X50, Proton e.MAS 5 dan Proton Saga serba baharu turut dipamerkan termasuk sebuah model baharu yang akan membuat penampilan pertama kepada umum sebelum pelancarannya dijadualkan pada awal 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN