Ringgit mengukuh ke paras tertinggi dalam tempoh lebih empat tahun - Utusan Malaysia

Ringgit mengukuh ke paras tertinggi dalam tempoh lebih empat tahun

RINGGIT mengukuh ke paras terbaik dalam tempoh empat tahun. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mata wang tempatan melonjak ke paras tertinggi baharu dalam tempoh lebih empat tahun apabila mencapai 4.1060/1110 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada penutup dagangan hari ini.

Pada pukul 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.1065/1155 berbanding 4.1115/1165 kelmarin, menandakan permulaan dagangan yang lebih stabil.

Prestasi ringgit hari ini juga mencatat sejarah apabila mencecah paras tertinggi dalam tempoh empat tahun lima bulan, mengatasi rekod 4.1080/1110 sedolar AS pada 11 Jun 2021.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pengukuhan ringgit disokong oleh sentimen pasaran global yang semakin yakin bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan melaksanakan pemotongan kadar faedah minggu depan.

Ujarnya, Indeks Dolar AS (DXY) terus menunjukkan penyusutan ketara minggu ini apabila ia merosot 0.64 peratus kepada paras 98 mata, mencerminkan jangkaan pelabur bahawa kadar faedah akan diturunkan sebanyak 0.25 peratus.

“Para pengurus dana meletakkan 87 peratus kebarangkalian langkah itu menjadi pemotongan terakhir bagi 2025.

“Saya menjangkakan sekiranya Fed benar-benar menurunkan kadar faedah, ringgit berpotensi meneruskan pengukuhan pada minggu hadapan.

“Pemotongan kadar faedah AS akan sekali lagi mengecilkan jurang antara Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia yang kini berada pada 2.75 peratus dengan kadar faedah AS yang dijangka turun kepada 3.75 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah beliau, jurang kadar yang lebih kecil lazimnya meningkatkan daya tarikan pelaburan dalam pasaran bon Malaysia, sekali gus menyokong permintaan terhadap ringgit.

“Langkah Fed itu berkemungkinan menyebabkan dolar AS terus melemah berbanding mata wang utama lain, termasuk ringgit, memandangkan aliran modal dijangka kembali ke pasaran sedang pesat membangun yang menawarkan pulangan lebih stabil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN