Ringgit dijangka capai RM4.05 dalam masa terdekat

Ringgit dijangka capai RM4.05 dalam masa terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka terus berlegar dalam julat RM4.12 hingga RM4.15 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh terdekat, berikutan sentimen pasaran yang berhati-hati kerana kemungkinan Rizab Persekutuan (Fed) AS menurunkan kadar faedah pada mesyuarat Disember.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sekiranya Fed melaksanakan pemotongan kadar faedah sekurang-kurangnya 0.25 peratus, dolar AS dijangka menyusut berbanding kebanyakan mata wang utama dunia, termasuk ringgit. 

“Langkah tersebut berpotensi mengukuhkan ringgit sehingga sekitar RM4.10,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jelas beliau, beberapa data ekonomi AS ketika ini memberi isyarat ekonomi domestik negara itu semakin rapuh. 

“Antara indikator yang mencetuskan kebimbangan termasuk peningkatan kadar pengangguran, pengurangan peluang pekerjaan baharu, serta kenaikan semula kadar inflasi, yang memerlukan Washington menilai strategi baharu untuk menyokong pertumbuhan ekonominya.

“Selain itu, penurunan kadar faedah AS dijangka mengecilkan jurang perbezaan dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia yang berada pada 2.75 peratus. 

“Keadaan itu diyakini mampu menarik semula aliran modal asing ke dalam pasaran domestik, terutamanya pelaburan dalam bon kerajaan dan sekuriti berpendapatan tetap, sekali gus memberi sokongan tambahan kepada pengukuhan ringgit,” katanya. 

Aimi Zulhazmi berkata, pergerakan ringgit dalam minggu-minggu mendatang akan terus bergantung kepada arah dasar monetari Fed, data ekonomi AS serta minat pelabur terhadap aset pasaran sedang pesat membangun.

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil pula berkata, ringgit berpotensi mengukuh ke paras RM4.05 hingga RM4.10 berbanding dolar AS dalam masa terdekat, didorong gabungan pemulihan asas ekonomi domestik serta penyusutan permintaan terhadap mata wang AS.

Katanya, momentum positif ini disokong oleh pengukuhan faktor dalaman, termasuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih stabil, permintaan domestik yang kekal kukuh, serta kadar faedah tempatan yang berada pada paras lebih rendah berbanding banyak negara serantau, sekali gus membantu menarik minat pelabur asing ke dalam pasaran bon dan sekuriti domestik.

“Ringgit turut menerima manfaat daripada kelemahan dolar AS kebelakangan ini, susulan ketidaktentuan dalam ekonomi AS yang masih bergelut dengan isu struktur dan fiskal,” katanya.

Menurutnya, beberapa indikator utama menunjukkan ekonomi AS berada dalam fasa pemulihan yang perlahan, terutama dalam sektor kerajaan yang masih berdepan tekanan hutang, defisit fiskal serta ketidaktentuan dasar. 

“Keadaan ini mengurangkan keyakinan pasaran terhadap dolar AS dan meningkatkan selera pelabur terhadap mata wang pasaran sedang pesat membangun, termasuk ringgit.

“Saya menjangka ringgit boleh mencapai RM4.05 hingga RM4.10 sekiranya trend semasa berterusan. Ini disokong oleh asas ekonomi negara yang semakin kukuh dan permintaan terhadap dolar AS yang semakin lemah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN