PETALING JAYA: Richiamo Coffee Sdn. Bhd. mengumumkan memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini, sekali gus menjadi pemangkin penting kepada strategi pertumbuhan syarikat dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.
Tiga cawangan utama iaitu Richiamo Coffee Taman Velox Rawang, Richiamo Coffee Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak dan Richiamo Coffee UTM Kuala Lumpur (UTMKL) telah menerima pensijilan halal.
Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo, Datuk Muhamad Zamry Abu Samah berkata, pencapaian itu amat bermakna bersempena perjalanan 10 tahun jenama Richiamo Coffee dalam industri makanan dan minuman.
“Pensijilan halal Jakim begitu penting kerana selain menyokong pengembangan jenama di pasaran tempatan, ia juga menjadi elemen kritikal untuk membawa Richiamo Coffee ke peringkat antarabangsa
“Ketika ini, hanya tiga cawangan tersebut yang telah memperoleh pensijilan setakat ini, manakala cawangan lain masih dalam proses permohonan, bergantung kepada tempoh kelulusan Jakim serta kerjasama pemilik cawangan masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, syarikat tidak menetapkan sasaran khusus dari segi bilangan cawangan yang wajib memiliki pensijilan halal Jakim, namun menggalakkan semua pemilik cawangan untuk memohonnya.
“Ini bukan satu kewajipan kerana semua bahan mentah dan bekalan yang digunakan oleh Richiamo Coffee sememangnya diperoleh daripada pembekal yang memiliki sijil halal masing-masing,” jelasnya.
Dalam pada itu, Muhamad Zamry berkata, fokus terhadap pensijilan halal turut didorong oleh perancangan syarikat untuk memperluaskan eksport produk keluaran Richiamo Coffee ke luar negara.
“Pensijilan halal Jakim adalah antara yang terbaik di dunia dan diterima secara meluas di peringkat antarabangsa kerana prosesnya yang ketat serta menyeluruh,” katanya.
Beliau menambah, beberapa produk pra-campuran Richiamo Coffee telah pun memperoleh pensijilan halal dan kini mula dieksport ke pasaran luar negara termasuk Timur Tengah.
“Namun begitu, beberapa produk baharu masih dalam proses ujian dan pemeriksaan Jakim bagi tujuan kelulusan.
“Bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap keperluan halal, Richiamo Coffee turut melantik eksekutif halal sendiri yang bertanggungjawab memantau serta memeriksa keseluruhan rantaian bekalan syarikat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Muhamad Zamry berkata, Richiamo Coffee terus agresif mengembangkan rangkaian cawangannya, termasuk pembukaan cawangan baharu di Phnom Penh, Kemboja, minggu lalu.
“Pensijilan halal ini amat berguna untuk menyokong kemasukan jenama Richiamo Coffee ke pasaran luar negara,” katanya.
Pembukaan cawangan di Phnom Penh itu merupakan kesinambungan kepada pembukaan beberapa cawangan baharu sebelum ini, antaranya di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) serta Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) di Shah Alam.-UTUSAN










