Qube, Inspur Cloud meterai MoU perkukuh penganjuran acara berasaskan AI - Utusan Malaysia

Qube, Inspur Cloud meterai MoU perkukuh penganjuran acara berasaskan AI

JERRY Zhao (kiri) dan Richard Teo (kanan) di majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Qube dan Inspur Cloud di MITEC, Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Qube Integrated Malaysia Sdn. Bhd. (Qube) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Inspur Cloud, peneraju global dalam pengkomputeran maju dan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh ekosistem penganjuran acara dan persidangan berasaskan teknologi digital di Malaysia.

Kerjasama strategik jangka panjang itu merangkumi penggunaan teknologi AI, komputasi awan serta infrastruktur digital berprestasi tinggi bagi meningkatkan perancangan, pengurusan dan pelaksanaan acara berskala besar di peringkat nasional dan antarabangsa.

Pengerusi Eksekutif syarikat itu, Richard Teo berkata, kerjasama tersebut merupakan langkah strategik dalam memperkukuh pendekatan penganjuran acara berasaskan teknologi.

“Kerjasama dengan Inspur Cloud akan meningkatkan keupayaan teknologi dan AI kami merangkumi pendigitalan lokasi serta penganjuran acara berteraskan data.

“Integrasi teknologi pintar di lokasi nasional dan penyediaan data ramalan kepada penganjur membolehkan perancangan acara dilaksanakan dengan lebih tepat,” katanya dalam ucapan pada majlis MoU yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Bahagian Perniagaan Antarabangsa Inspur Cloud, Jerry Zhao berkata, penggunaan teknologi digital dalam sektor MICE berupaya meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman peserta.

“Pengenalan teknologi AI, komputasi awan dan infrastruktur digital berprestasi tinggi menyokong pendigitalan lokasi serta penganjuran acara berteraskan data yang lebih berstruktur dan berkesan,” katanya.

Antara fokus utama kerjasama tersebut ialah pendigitalan lokasi menerusi penerapan teknologi kampus pintar dan analitik aliran pengunjung secara langsung di lokasi yang dikendalikan.

Kerjasama berkenaan turut melibatkan penggunaan analitik data dan model AI berskala besar bagi membantu penganjur menjangkakan corak kehadiran serta tahap interaksi peserta, sekali gus menyokong penganjuran acara yang lebih tersusun.

Inisiatif ini selari dengan agenda pendigitalan negara serta usaha memperkukuh segmen pelancongan perniagaan, yang merupakan antara penyumbang penting kepada ekonomi pelancongan dan sektor sokongan berkaitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN