PSP Energy bangunkan hab bunkering baharu di Tanjung Bruas - Utusan Malaysia

PSP Energy bangunkan hab bunkering baharu di Tanjung Bruas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PSP Energy Berhad memperkukuh kedudukan dalam sektor perkapalan dan logistik bahan api negara melalui pembangunan hab bunkering baharu di Pelabuhan Tanjung Bruas, Melaka. 

Ia merupakan langkah strategik yang menandakan perluasan operasi syarikat melangkaui pangkalan utamanya di Pelabuhan Klang.

Hab tersebut dibangunkan susulan pajakan tanah industri lengkap dengan jeti dan kemudahan storan bahan api berkapasiti 6 megaliter yang ditandatangani pada 25 Februari 2025. 

Kemudahan itu akan dinaik taraf menjadi pusat bunkering berasaskan pelabuhan, membolehkan PSP Energy membekalkan minyak gas marin terus kepada kapal yang berlabuh di kawasan tersebut, sekali gus memanfaatkan pertambahan trafik di Selat Melaka.

Pengarah Urusan Kumpulan PSP Energy, Ong Chee Seng berkata, peluasan di Melaka merupakan komponen penting dalam perancangan jangka panjang syarikat bagi memperkukuh kehadiran di laluan perkapalan utama serantau.

“Pelabuhan Tanjung Bruas berada pada trajektori pertumbuhan dan lokasinya yang strategik meletakkan kami pada kedudukan kukuh untuk meneroka permintaan baharu di salah satu koridor maritim paling aktif di rantau ini,” katanya dalam kenyataan.

Perkhidmatan bunkering kekal sebagai penyumbang hasil terbesar syarikat, meningkat daripada RM106.1 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 kepada RM147.8 juta pada tahun kewangan 2025. 

Menurutnya, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, PSP Energy merancang memperoleh sebuah kapal bunker terpakai berkapasiti sekurang-kurangnya 2.0 megaliter menggunakan dana IPO, melengkapkan tiga kapal sedia ada yang mempunyai kapasiti gabungan 2.4 megaliter.

“Kami memberi tumpuan kepada pembinaan armada yang moden dan boleh diskala bagi memenuhi keperluan pelanggan dengan lebih cekap serta boleh dipercayai,” katanya. 

Segmen pelincir syarikat turut mencatat pertumbuhan memberangsangkan apabila hasil hampir berganda daripada RM14.3 juta 2022 kepada RM28.8 juta tahun ini. 

Bagi memanfaatkan momentum itu, PSP Energy akan membuka cawangan dan gudang baharu di Pahang bagi meneroka pasaran Pantai Timur merangkumi Pahang, Terengganu dan Kelantan, selain mengembangkan peluang jual silang bagi produk bahan api.

Kemudahan baharu itu dijangka memperluas liputan perkhidmatan serta mempercepat masa penghantaran. 

Dalam masa terdekat, syarikat turut meninjau peluang di pasaran serantau susulan peningkatan permintaan pelincir.

Mengulas lanjut, Chee Seng berkata, PSP Energy kini berada pada fasa pertumbuhan baharu didorong pelaburan dalam infrastruktur pelabuhan, peningkatan armada dan perluasan rangkaian pengedaran.

“Kami komited terhadap pertumbuhan bertanggungjawab dan penciptaan nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan. Pelaburan hari ini akan membentuk asas masa depan PSP Energy,” katanya.

Melalui penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad, PSP Energy berjaya mengumpul RM34.2 juta menerusi Terbitan Awam Permulaan (IPO) yang membabitkan 213.80 juta saham baharu pada harga RM0.16 sesaham, selain penjualan 74.82 juta saham sedia ada kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI.

Daripada jumlah itu, RM15 juta (43.9 peratus) diperuntukkan bagi pembelian kapal bunker baharu, RM12 juta (35.1 peratus) untuk pembelian bahan api seperti diesel dan minyak gas marin, manakala RM1 juta (2.9 peratus) untuk pembelian tujuh lori tangki baharu bagi menggantikan unit lama serta menambah armada. 

Baki dana merangkumi RM1.3 juta (3.8 peratus) untuk modal kerja am dan RM4.9 juta (14.3 peratus) bagi menampung kos penyenaraian.

Pada harga IPO 16 sen sesaham, PSP Energy dijangka memiliki modal pasaran sebanyak RM171 juta ketika disenaraikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN