Proton catat jualan 13,451 unit pada November - Utusan Malaysia

Proton catat jualan 13,451 unit pada November

PROTON SAGA SERBA BAHARU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton menutup November dengan jualan kukuh sebanyak 13,451 unit bagi domestik dan eksport selepas mencuri tumpuan dengan pelancaran Proton e.MAS 5 dan Proton Saga serba baharu.

Prestasi itu menaikkan jumlah jualan November kepada 143,322 unit, iaitu 3.6 peratus lebih tinggi berbanding pada 2024, sekali gus meletakkan Proton di landasan selesa untuk menamatkan tahun dengan pertumbuhan positif sekiranya tiada halangan besar.

Pencapaian itu juga berbeza dengan prestasi keseluruhan industri, yang dijangka susut 0.9 peratus berbanding tahun lalu.

Berdasarkan anggaran semasa, Proton dijangka meraih 18.4 peratus pegangan pasaran bagi November, manakala pegangan pasaran tahun-ke-tahun berada pada 19.7 peratus, sekali gus mengekalkannya sebagai jenama kedua paling dipilih dalam pasaran automotif Malaysia yang semakin kompetitif.

Sementara itu, Proton Saga terus jadi model utama pada November dengan 6,931 unit terjual, menjadikan jumlah tahunannya 66,038 unit.

Walaupun dalam fasa peralihan ke Saga serba baharu, penghantaran masih stabil sementara kilang baharu di Tanjong Malim meningkatkan kapasiti untuk memenuhi permintaan tinggi.

Dengan tempahan yang sudah melepasi 30,000 unit dan terus bertambah, Saga dijangka menduduki carta lebih tinggi dalam pasaran 2026.

Proton X50 pula mengekalkan momentum kukuh dengan 2,127 unit pada November menjadikan jumlah tahun ke tahun sebanyak 25,974 unit, naik 23.5 peratus berbanding tahun lalu dan kekal sebagai peneraju segmen SUV B.

Proton S70 juga mempertahankan kedudukan sebagai sedan segmen C paling laris dengan 1,487 unit, menjadikan jumlah tahunannya 15,828 unit.

Model ICE lain turut mengukuhkan prestasi Proton pada November dengan Proton Persona terus mendapat sambutan stabil dengan 1,050 unit terjual menjadikan jumlah tahun ke tahun sebanyak 14,214 unit, diikuti Proton X70 dengan 471 unit (tahun ke tahun sebanyak 7,184 unit).

Selain itu, Proton X90 menambah 234 unit menjadikannya jumlah tahun ke tahun sebanyak 2,357 unit, manakala Proton Iriz menutup bulan dengan 241 unit (tahun ke tahun sebanyak 3,208 unit).

November turut menjadi bulan yang positif untuk usaha elektrifikasi Proton, didorong sambutan kuat terhadap pelancaran e.MAS 5 sebagai EV mampu milik pertama Malaysia.

Kehadiran model itu menarik lebih ramai pembeli ke rangkaian EV Proton, sekali gus membantu mencatat peningkatan 14.8 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Proton e.MAS 7 kekal peneraju dengan 830 unit terjual pada November, menjadikan jumlah tahunannya 7,784 unit dan terus memegang gelaran EV paling laris di Malaysia.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Proton, Zhang Qiang berkata, pelancaran e.MAS 5 dan Saga baharu memberi syarikat itu momentum yang kuat menjelang 2026.

“Di Proton Tech Showcase, kami turut berkongsi pratonton awal model PHEV akan datang untuk mengekalkan minat pelanggan terhadap teknologi baharu.

“Semua usaha sepanjang tahun ini banyak membantu peningkatan jualan kami pada 2025, dan kami yakin dapat mencapai lonjakan lebih besar tahun depan.

“Jualan eksport kini 37.3 peratus lebih tinggi daripada 2024 dan hampir capai 6,000 unit,” katanya dalam kenyataan.

Sebagai sebahagian usaha mengembangkan pasaran luar negara, Proton memberi tumpuan besar kepada eksport sepanjang 2025.

Usaha itu merangkumi penubuhan Proton International Corporation Sdn. Bhd. (PICSB) bagi menguruskan pasaran luar negara dan pelancaran jualan e.MAS 7 di beberapa negara, termasuk kemunculan semula Proton di Singapura pada Ogos.

Hasilnya, jualan eksport terus menunjukkan peningkatan kukuh dengan 460 unit pada November, menjadikan jumlah terkumpul 5,014 unit iaitu 37.3 peratus lebih tinggi berbanding 2024 dan yang tertinggi sejak 2022.

Prestasi ini meletakkan Proton hampir mencapai sasaran 6,000 unit pada 2025 dan mengukuhkan kedudukannya sebagai pengeksport automotif utama negara.

Qiang berkata, eksport akan menjadi komponen penting dalam sasaran jangka panjang Proton.

“Minat yang semakin kukuh di beberapa pasaran luar negara memberi kami keyakinan untuk terus berkembang.

“Kami akan memasuki lebih banyak negara dalam beberapa tahun akan datang dan memanfaatkan fasiliti pengeluaran berteknologi tinggi di Tanjong Malim untuk memperkukuh kehadiran kami di pasaran pemanduan kanan dan kiri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN