PETALING JAYA: Sektor pembinaan negara dijangka terus kukuh apabila nilai kerja siap bagi suku ketiga 2025 mencecah RM45.4 bilion, peningkatan 11 peratus tahun ke tahun, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan berkata, angka tersebut merupakan rekod baharu setakat ini, mencerminkan kepadatan aktiviti projek di peringkat domestik yang masih rancak dilaksanakan oleh kontraktor utama.
RHB Research menyenaraikan tiga syarikat sebagai pilihan utama pelabur dalam sektor berkenaan iaitu Gamuda Berhad, Sunway Construction Group Berhad dan Kerjaya Prospek Group Berhad.
“Daripada 10 syarikat di bawah liputan kami, hanya Sunway Construction dan Kerjaya Prospek mengatasi jangkaan, satu menepati unjuran, manakala selebihnya berada di bawah sasaran,” katanya.
Dalam masa sama, RHB Research turut menilai perkembangan positif melibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menandatangani 11 perjanjian bekalan elektrik bagi lapan projek pusat data (DC) dengan jumlah kapasiti permintaan sebanyak 1.1 gigawatt (GW).
Menurutnya, nilai itu bersamaan bekalan 768 megawatt (MW) yang berpotensi menjana nilai kerja sehingga RM15.7 bilion, berdasarkan anggaran purata RM20 juta bagi setiap MW.
Bagi infrastruktur air di Johor pula, firma berkata, kapasiti bekalan sedia ada adalah mencukupi untuk menyokong sehingga 3.4 GW sehingga tahun 2030, disokong oleh kapasiti 1,100 juta liter sehari (MLD) daripada projek Semanggar, Layang 2 Fasa 2 serta tiga loji tambahan.
“Kami juga optimis terhadap potensi pelaksanaan Aliran Transit Ringan (LRT) Fasa 2 bernilai RM5 bilion yang dijangka diumumkan pada separuh kedua 2026, selain projek e-ART di Johor bernilai RM7 bilion yang kini dalam proses penilaian,” katanya.
RHB Research menambah, Indeks Pembinaan Bursa Malaysia (BMCI) ketika ini didagangkan pada 17 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E), menyamai kedudukan semasa kitaran kenaikan tahun 2017 dan memberi indikasi ruang kenaikan selanjutnya.
Namun begitu, firma berkenaan mengingatkan terdapat risiko utama yang perlu diberi perhatian, termasuk kelewatan tidak dijangka dalam pelaksanaan projek tertentu serta kekurangan tenaga kerja.
Secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan penarafan ‘overweight’ ke atas sektor pembinaan berikutan prospek kukuh projek pusat data serta aliran projek mega berskala sederhana yang terus tersusun. – UTUSAN










