Pinn Yang ubah minat jadi perniagaan digital

Pinn Yang ubah minat jadi perniagaan digital

NICHOLAS Lim Pinn Yang (kiri) bersama kakitangannya Ketika ditemui dipejabatnya di The Vertical Business Suites, Bangsar South di sini, baru-baru ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANYA menggunakan kamera jenama Canon lama tanpa kanta reflek tunggal digital (DSLR) ketika mula-mula merakam video makanan, Nicholas Lim Pinn Yang atau lebih dikenali sebagai Pinn Yang mengubah minatnya terhadap makanan tempatan menjadi sebuah perniagaan digital bernilai jutaan ringgit melalui Foodie Media Berhad.

Beliau yang merupakan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu berkata, perjalanannya dimulakan sebagai seorang penulis blog makanan yang sederhana dengan jenama Penang Foodie yang menumpukan kepada kulinari tempatan. 

“Ketika itu saya hanya menggunakan jenama Penang Foodie sahaja dengan modal permulaan sangat minima. Kami beli domain RM500 dan ambil pinjaman 36 bulan untuk membeli kamera Canon. Waktu itu kami rakam video saiz YouTube dengan bar hitam di atas foto.

“Inspirasi saya datang daripada ayah saya kerana datang daripada pengalaman mengikuti ayahnya berniaga makanan di pasar pagi. Dari situ, saya ingin menjadi seorang ahli perniagaan yang boleh memberi nilai melalui pemasaran digital.

“Saya ingin membantu perniagaan ayah saya menggunakan pendekatan digital kerana perniagaan tradisional beliau menghadapi kesukaran apabila hujan atau kekurangan model perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang berasal dari Pulau Pinang berkata, selain perniagaan bapanya, banyak perniagaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia kehilangan kelebihan kerana tidak mahir menggunakan pemasaran digital. 

“Misi saya adalah membantu mereka memasarkan produk secara digital dan memfokuskan makanan kerana ia adalah sebahagian daripada kehidupan harian, jadi senang untuk menghasilkan kandungan.

“Cabaran terbesar saya pada ketika itu adalah membina pengikut dan kandungan digital secara berperingkat. Pada tahun pertama, Penang Foodie hanya mempunyai 1,000 pengikut, namun, melalui penghasilan kandungan yang konsisten, kini kami mempunyai 48 juta pengikut,” ujarnya.

Kini, Foodie Media berjaya disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, sekali gus muncul antara kaunter paling aktif di pasaran tempatan serta menjadi syarikat media digital pertama di Asia Tenggara yang tersenarai.

Syarikat yang terkenal dengan akaun media sosial KL Foodie itu turut merekodkan jumlah dagangan pembukaan sebanyak 15.29 juta unit saham dan berjaya mengumpul sebanyak RM41.4 juta menerusi terbitan tawaran awam permulaan (IPO). 

Pinn Yang berkata, misi utama syarikat adalah menyokong perniagaan tempatan melalui pemasaran digital dan bukannya bersaing secara langsung dengan mereka. 

“Kami tidak bercadang membuka restoran sendiri kerana objektif kami adalah membantu perniagaan lain berkembang melalui media sosial.

“Sejak penubuhan, Foodie Media telah berkembang ke Kuala Lumpur, Johor, Sarawak dan Sabah. Kini, kami juga meluaskan pasaran ke Indonesia, Singapura dan Filipina.

“Pada tahun pertama, syarikat merekodkan hasil RM1.9 juta, meningkat kepada RM2.8 juta pada tahun berikutnya dan lebih RM5 juta pada tahun ketiga. 

“Pertumbuhan ini dicapai dengan pendekatan konservatif dan pelaburan semula keuntungan untuk memperkukuhkan pasukan,” katanya.

Beliau berkata, industri media digital yang dijangka semakin tertumpu kepada platform digital dan penggunaan telefon pintar.

“Perniagaan yang ingin kekal relevan perlu membina kehadiran dalam media sosial dan bekerjasama dengan pencipta kandungan. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi turut menjadi saluran untuk menjana pendapatan sebenar.

“Bagi mereka yang ingin menceburi bidang pencipta kandungan, saya menasihatkan agar melihat kerjaya ini sebagai satu maraton, bukan larian pecut.

“Pilih bidang tumpuan yang diminati seperti makanan, kecantikan, fesyen atau sebagainya dan cuba kekal konsisten menghasilkan kandungan sekurang-kurangnya lima tahun serta beri tumpuan kepada seni penceritaan. 

“Bidang ini boleh menjana pendapatan yang lumayan jika kita pandai mengurusnya. Menjana pendapatan boleh dilakukan melalui iklan atau siaran langsung TikTok, namun kedua-duanya perlu diurus dengan baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN