Perodua lancar EV pertama buatan Malaysia, QV-E

Perodua lancar EV pertama buatan Malaysia, QV-E pada harga bermula RM80,000

ANWAR Ibrahim (dua dari kiri) pada Majlis Peluncuran EV pertama Perodua di Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di sini. - UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perodua melancarkan kenderaan elektrik (EV) buatan Malaysia pertama, QV-E pada harga RM80,000, tidak termasuk insurans dan bateri, sebagai sebahagian daripada agenda nasional negara dalam membangunkan ekosistem EV yang mampan.

QV-E, bermaksud ‘Quest for Visionary-Electric’ menelan kos pembangunan sebanyak RM800 juta dan dikeluarkan di kemudahan pengilangan terbaharu Perodua iaitu Smart Mobility Plant.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, QV-E menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (52.5kW) dan mempunyai kapasiti julat sehingga 445 kilometer (NEDC), bergantung kepada cara pemanduan,suhu dan keadaan jalan.

“Pada masa ini, kami boleh mengeluarkan 500 unit kenderaan sebulan, tetapi kami akan menawarkan 3,000 unit kenderaan sebulan menjelang suku ketiga tahun 2026,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Peluncuran EV pertama Perodua di Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di sini. 

Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Selain itu, beliau berkata, model ini juga dilengkapi dengan ciri keselamatan terkini termasuklah sistem pengesanan dan amaran kanak-kanak yang mengingatkan pemandu sekiranya ada kanak-kanak ataupun binatang peliharaan yang tertinggal di dalam kereta kerana ia boleh mengesan pergerakan serta tanda vital di bahagian tempat duduk belakang.

Jelasnya, sistem itu juga boleh mengesan pergerakan walaupun dilitupi oleh selimut atau fabrik lain.

“Kesemua ciri yang terdapat pada QV-E dicipta dengan mengambil kira fungsi terkini, aspek keselamatan yang lebih canggih serta keselesaan pengguna berdasarkan kajian terperinci yang dijalankan oleh Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan kami.

“Makanya, terhasillah model QV-E ini yang menjadi bukti kerjasama rakyat Malaysia dalam mencipta sesuatu yang unik, daripada reka bentuk hinggalah kepada aspek kejuruteraan, QV-E menawarkan manfaat buat semua,” katanya. 

Di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 1 September 2023, Perodua dilantik sebagai juara dan peneraju pengeluar automotif tempatan untuk membangunkan ekosistem EV.

Perodua menjalin kerjasama secara agresif dengan vendor tempatan untuk membekalkan 50 peratus komponen menjelang awal tahun 2026 dan meningkatkannya kepada 70 peratus menjelang 2030. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN