JOHOR BAHRU: Kerajaan akan memperkenalkan perkhidmatan komuter Kulai ke Johor Bahru bagi menambah baik mobiliti harian penduduk yang dijangka bermula pada suku pertama 2026.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, buat permulaan gerabak sedia ada yang sebelum ini digunakan antara Gemas–Johor Bahru akan dioptimumkan.
“Perkhidmatan ini dijangka akan beroperasi seperti shuttle, menawarkan iaitu 20 minit perjalanan antara Kulai ke Johor Bahru, dengan 16 perjalanan setiap hari.
“Selain itu, kekerapan komuter tersebut setiap 30 hingga 60 minit,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyempurnaan dan Pengoperasian Landasan Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru (PLBEGJB) di Stesen KTMB Kempas Baru hari ini.
Menurut beliau, langkah ini turut membantu melancarkan aliran penumpang bagi pengguna Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Malaysia–Singapura kelak.
Menurut Siew Fook, operasi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) diyakini mampu dibiayai oleh jualan tiket tanpa memerlukan suntikan dana besar.
“Lebih RM10 bilion telah dilaburkan untuk projek landasan berkembar ini dan kerajaan berharap ia menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi Johor, khususnya sepanjang koridor utara–selatan negeri tersebut,” katanya.
Selain itu, Anthony berkata, perbincangan mengenai kelulusan projek Projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) masih berjalan dan beberapa perincian penting masih belum dimuktamadkan.
Jelasnya, perkara-perkara berbangkit yang dibincangkan akan diselesaikan dalam masa terdekat.
“Kita akan memuktamadkan dalam keadaan segera, dalam masa terdekat. Banyak perbincangan sedang berlaku,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Johor, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengadakan perbincangan khusus berkaitan isu ini.
“Semua masih dalam peringkat perbincangan. Jadi saya yakin akan ada keputusan tak lama lagi,” katanya. – UTUSAN










