Penyenaraian Orkim perkukuh penyertaan bumiputera dalam pasaran modal - Utusan Malaysia

Penyenaraian Orkim perkukuh penyertaan bumiputera dalam pasaran modal

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (tengah) bersama Pengerusi Orkim Berhad, Datuk Abdul Hamid Sh Mohamed (lima dari kiri) ketika sesi bergambar pada majlis perasmian penyenaraian Orkim Berhad di pasaran utama Bursa Malaysia Securities Berhad di Bursa Malaysia , Kuala Lumpur di sini, semalam. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyenaraian syarikat logistik maritim, Orkim Bhd. di Pasaran Utama Bursa Malaysia semalam secara tidak langsung perkukuh penyertaan bumiputera dalam pasaran modal negara.

Orkim adalah syarikat bimbingan di bawah agenda Program Pengaktifan dan Pembaharuan Perusahaan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) kerajaan yang menggalakkan penjajaran dan sinergi lebih luas dalam kalangan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Langkah ini adalah untuk menambah baik penciptaan nilai jangka panjang bagi negara serta mengukuhkan penyertaan bumiputera dalam pasaran modal.

Penyenaraian syarikat menjadi bukti jelas sinergi dan kesinambungan GLIC dengan setelah berkembang maju di bawah kepimpinan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) untuk menjadi pengendali kapal tangki Produk Petroleum Bersih (CPP) terbesar Malaysia dengan menguasai 56 peratus bahagian pasaran domestik, di antara kapal yang berdaftar di Malaysia.

Semalam, Orkim memulakan dagangan di Pasaran Utama Bursa Malaysia dengan harga pembukaan 92 sen, seiring dengan harga penawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu.

Melalui penerbitan 100 juta saham baharu, Orkim berjaya mengumpul RM92 juta, di mana 87 peratus atau RM80 juta akan digunakan untuk pemerolehan dua kapal tanker kimia dan produk petroleum baharu sebagai sebahagian daripada program pengembangan dan pemodenan armada syarikat.

Sejumlah RM1.15 juta (1.2 peratus) diperuntukkan untuk modal kerja, manakala baki RM10.85 juta (11.8 peratus) digunakan bagi perbelanjaan penyenaraian.

Pengerusi Orkim Berhad, Datuk Abdul Hamid Sh. Mohamed berkata, harga saham syarikat pada hari penyenaraian di Bursa Malaysia adalah cerminan pasaran dan menasihatkan pelabur untuk menilai dari perspektif jangka panjang.

Katanya, faktor global, termasuk kejatuhan pasaran Amerika Syarikat (AS) dan gempa bumi di Jepun, dipercayai mempengaruhi pasaran secara keseluruhan. 

“Harga pembukaan di sini pada 92 sen adalah tepat dan selaras dengan penawaran IPO. Apa yang lebih penting, pelabur perlu melihat dari sudut jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata, dasar dividen syarikat antara 50 peratus hingga 70 peratus daripada keuntungan selepas cukai, yang dijangka memberikan hasil dividen yang baik apabila syarikat terus berkembang dalam beberapa tahun akan datang.

“Jadi kita tidak boleh menilai harga saham hanya dalam tempoh lima minit. Fokus jangka panjang adalah kunci untuk pelabur mendapatkan manfaat penuh daripada pertumbuhan syarikat,” tambahnya. 

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, penyenaraian Orkim menandakan satu langkah ke hadapan yang penting bagi ekosistem perusahaan bumiputera dan mencerminkan bagaimana kerjasama strategik di antara GLIC mampu membina syarikat peneraju kebangsaan yang berdaya saing di persada dunia.

“Menerusi rangka kerja GEAR-uP, institusi seperti Ekuinas dan PNB berganding bahu untuk memajukan syarikat-syarikat berpotensi tinggi dan menjamin pertumbuhan jangka panjang mereka, memastikan nilai ekonomi kekal di dalam negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN