Pendapatan FBM KLCI dijangka susut 3.2 peratus tahun ini

Pendapatan FBM KLCI dijangka susut 3.2 peratus tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Konsensus pasaran menjangkakan pertumbuhan pendapatan tahunan Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akan menyusut sebanyak 3.2 peratus tahun ini, sebelum kembali meningkat kepada 7.7 peratus pada tahun kewangan 2026.

Menurut MBSB Research, pemulihan pertumbuhan pendapatan dijangka menyokong paras harga FBM KLCI yang lebih tinggi pada tahun kewangan 2026.

“Dalam pasaran lebih luas, pertumbuhan pendapatan agregat dijangka mencapai +7.4 peratus tahun ke tahun bagi tahun kewangan berikutnya. 

“Ini berdasarkan universum saham yang kami liputi yang disenaraikan di Bursa Malaysia setakat awal Disember tahun kewangan 2025. 

“Semua sektor dijangka mencatat pertumbuhan pendapatan positif,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Firma itu berkata, FBM KLCI turut mencatatkan penurunan sebanyak 6.7 peratus pada separuh pertama tahun kewangan 2025 sebelum kembali meningkat dengan kenaikan 5.8 peratus setakat separuh kedua hingga 4 Disember.

Sementara itu, Penganalisis Penyelidikan Ekuiti CGS International Securities Malaysia, Cheng Wei Lew berkata, FBM KLCI susut 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 1,604 mata pada November 2025, mengikut trend pasaran serantau yang mencatatkan penurunan pada indeks teknologi utama.

Jelasnya, sektor teknologi Bursa Malaysia mencatat kerugian 8.9 peratus bulan ke bulan disebabkan jualan besar-besaran global, manakala sektor utiliti (-8.3 peratus) dan penjagaan kesihatan (-6.8 peratus) juga mencatatkan prestasi terburuk.

“Bagaimanapun, Indeks FBM KLCI  masih mencatat prestasi lebih baik berbanding MSCI Emerging Market Index yang jatuh 2.5 peratus dan MSCI All Country Asia ex-Japan Index yang merosot 2.9 peratus.

“Bulan lalu juga mencabar bagi indeks berasaskan teknologi, dengan KOSPI Korea, Nikkei Jepun, TAIEX Taiwan dan Nasdaq masing-masing mencatat penurunan antara 1.5 hingga 4.4 peratus.

“Daripada 30 syarikat dalam KLCI, hanya 13 mencatat kenaikan harga saham menjadikannya jumlah paling sedikit sejak Mei 2025. 

“Tiga prestasi terbaik bulan ke bulan ialah 99 SpeedMart (+6.3 peratus), Gamuda (+6.2 peratus) dan Press Metal (+6.0 peratus), manakala tiga prestasi terburuk mom ialah Petronas Chemicals (-23.1 peratus), YTL Power (-18.3 peratus) dan YTL Corp (-18.1 peratus),” katanya. 

Beliau berkata, STI Singapura naik 2.2 peratus bulan ke bulan mencatat kenaikan selama tujuh bulan berturut-turut, menjadikannya satu-satunya pasaran ASEAN yang berbuat demikian setakat tahun ini.

“Namun begitu, ia masih ketinggalan berbanding JCI Jakarta (+4.2 peratus bulan ke bulan), yang merupakan prestasi terbaik dalam kalangan semua pasaran ASEAN pada bulan tersebut. 

“SET Thailand pula mencatatkan negatif 4.0 peratus bulan ke bulan merupakan prestasi terburuk dalam kalangan pasaran Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand (MIST).

“Bagi 11 bulan 2025, JCI mencatatkan kenaikan 20.2 peratus, sekali lagi mengatasi STI (+19.4 peratus tahun ke tahun) sebagai peneraju MIST untuk bulan ketiga berturut-turut. 

“KLCI susut 2.0 peratus tahun ke tahun, namun masih mengatasi SET yang jatuh 10.2 peratus tahun ke tahun menjadikannya satu-satunya indeks utama global yang mencatat penurunan dua digit setakat ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Wei Lew berkata, pelabur asing kekal sebagai penjual bersih dengan aliran keluar bersih RM1.1 bilion pada November, kurang daripada separuh berbanding RM2.7 bilion pada Oktober 2025.

“Ini meningkatkan jumlah aliran keluar bersih asing sejak 2010 kepada paras tertinggi sepanjang masa iaitu RM58.8 bilion, dengan aliran jualan bersih kumulatif tahun ke tahun kedua terburuk dalam sejarah.

“Selain itu, pelabur institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk bulan keenam berturut-turut dengan aliran belian bersih RM1.2 bilion pada November, lebih separuh daripada RM3.7 bilion pada Oktober. 

“Peruncit tempatan pula kekal sebagai penjual bersih untuk bulan ketiga berturut-turut, dengan aliran jualan bersih susut 71.8 peratus bulan ke bulan kepada RM197 juta berbanding RM700 juta pada Oktober,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN