Naza tamatkan perjanjian import,pengedaran Maserati di Malaysia 

Naza tamatkan perjanjian import,pengedaran Maserati di Malaysia 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Naza Italia Sdn. Bhd. akan menamatkan perjanjian pengimportan serta pengedaran kenderaan Maserati di Malaysia dan telah memaklumkan perkara itu secara rasmi kepada Maserati SpA.

Notis penamatan itu diserahkan selaras dengan syarat kontrak 180 hari, mengikut perjanjian yang ditandatangani pada 1 Januari 2009.

Naza Italia berkata, sepanjang tempoh peralihan itu, proses penamatan akan berjalan secara lancar.

“Syarikat menekankan komitmen untuk mengekalkan tahap profesionalisme, ketelusan, dan integriti sepanjang tempoh peralihan, bagi memastikan pengalaman pelanggan dan rakan kongsi tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Naza Automotive Group, penamatan pengedaran Maserati itu adalah sebahagian daripada strategi lebih luas untuk menumpukan perhatian kepada jenama teras dan bidang pertumbuhan baharu.

Antara langkah utama termasuk pengembangan rangkaian Suzuki Cars Malaysia bagi memperkukuh kehadiran jenama itu di pasaran tempatan.

Selain itu, Naza Automotive Group melancarkan pusat pameran premium mewah Stars@Mercedes-Benz di Bangsar, bertujuan meningkatkan pengalaman pelanggan serta standard kualiti perkhidmatan mereka.

Syarikat turut melabur dalam platform digital, bagi memperkukuh perkhidmatan pelanggan dan operasi jualan secara moden, selaras dengan trend transformasi digital dalam industri automotif. 

Naza juga sedang meneroka jenama automotif baharu, termasuk kenderaan elektrik dan menilai peluang perniagaan di peringkat serantau ASEAN, selaras dengan strategi pertumbuhan jangka panjang.

“Dengan strategi yang diperbaharui dan hala tuju yang jelas, Naza Automotive Group berada pada kedudukan yang baik untuk memimpin era pertumbuhan seterusnya,” kata syarikat itu.

Syarikat menegaskan, langkah ini akan membolehkan mereka terus memberi nilai berterusan kepada pelanggan, rakan kongsi dan pihak berkepentingan, sambil memastikan operasi lebih fokus dan efisien.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN