MIBS 2025 sasar 10,000 penunjung, tonjol teknologi baharu dan kerjasama global - Utusan Malaysia

MIBS 2025 sasar 10,000 penunjung, tonjol teknologi baharu dan kerjasama global

CHONG Chong Tik (tengah) dan Abu Hassan (tiga dari kiri) ketika menghadiri majlis perasmian MIBS 2025, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pameran Penjenamaan Antarabangsa Malaysia ke-20 (MIBS 2025) menyasarkan untuk menarik 10,000 pengunjung, membuka peluang baharu kepada pengusaha tempatan untuk menembusi pasaran global sekali gus mengukuhkan kedudukan MIBS sebagai salah satu platform perdagangan paling berpengaruh di rantau ini.

Pameran yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mulai 4 hingga 6 Disember itu dianjurkan bersama oleh Persatuan Perniagaan Antarabangsa Promas Malaysia (PROMAS), Persekutuan Persatuan Barangan Am & Pakaian Tekstil Malaysia serta Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM), selain menerima pengiktirafan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Menurut Presiden PROMAS, Datuk Seri Chong Chong Tik, pameran itu menjadi platform penting untuk usahawan tempatan mempromosi produk ke pasaran global, khususnya China dan Korea.

Katanya, penyertaan besar itu menunjukkan keyakinan tinggi negara luar terhadap pasaran Malaysia serta potensi kerjasama perdagangan dua hala.

“Kami menyasarkan 10,000 pelawat perniagaan. Ini peluang besar untuk usahawan tempatan meneroka pasaran baharu dan mendapatkan akses terus kepada pembeli luar negara.

“Fokus kami adalah untuk mempromosikan produk tempatan seperti kopi putih, kain, fabrik dan pelbagai produk harian agar dapat menembusi pasaran global,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, MIBS 2025 bukan sekadar pameran produk, sebaliknya platform pembelajaran, pengenalan teknologi, dan pemahaman tren penjenamaan global.

“Pameran ini turut menekankan aplikasi teknologi moden seperti automasi, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi pengeluaran pintar dari China dan Malaysia yang dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkatkan kapasiti pengeluaran,” katanya.

Sementara itu, Presiden DPUM, Datuk Seri Abu Hassan Mohd. Nor berkata, kehadiran MIBS memberi ruang penting kepada produk tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa.

“PKS memperkukuh aspek teknologi bagi memastikan mereka mampu memenuhi permintaan luar negara, termasuk dari syarikat China yang memerlukan jumlah pengeluaran tinggi.

“Kita mahu lebih banyak teknologi moden diaplikasikan bagi mempercepatkan proses pembuatan. Ada pelabur dari China yang memerlukan sehingga 20 kontena sebulan untuk sesuatu produk, namun kemampuan teknologi semasa di Malaysia masih belum mencukupi. Inilah sebabnya kerjasama teknologi sangat penting,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN