PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Bhd mencatat satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV 2.0) dengan penyerahan pembayaran premium berjumlah RM50 juta kepada kerajaan Negeri Sembilan.
Pemaju hartanah itu berkata, sumbangan tersebut adalah bayaran premium kumpulan untuk MVV City Plot C.
Katanya, bayaran premium itu mencerminkan kerjasama kukuh antara sektor awam dan swasta yang menjadi asas pembangunan MVV City, iaitu koridor pertumbuhan yang dirancang secara strategik dan bersifat pemangkin untuk merangsang aktiviti ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan serta memperkukuh agenda pembangunan jangka panjang Negeri Sembilan.
“Sumbangan RM50 juta tersebut merupakan sebahagian daripada premium penukaran tanah dan menekankan komitmen kukuh Kumpulan terhadap pembangunan MVV City.
“Ia juga mencerminkan keyakinan Matrix Concepts terhadap visi jangka panjang negeri untuk kawasan ini.
“Kumpulan menantikan kerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi membentuk MVV City menjadi hab yang dinamik dan lestari, yang akan memberi manfaat kepada komuniti untuk generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin menyerahkan simbolik cek kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Matrix Concepts berkata, penglibatan Kumpulan dalam MVV City turut menyerlahkan komitmennya terhadap pembangunan mampan, pengurusan tanah yang bertanggungjawab dan penciptaan nilai jangka panjang, prinsip yang telah membimbing pertumbuhan Matrix Concepts serta mengukuhkan reputasinya dalam landskap hartanah Malaysia.-UTUSAN











