Malaysia dipilih sebagai hab strategik Leonardo

Malaysia dipilih sebagai hab strategik Leonardo

FAHMI Fadzil (tiga kanan) merasmikan Pembukaan Pusat Siber Serantau Leonardo Malaysia di Menara PHB Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Leonardo, syarikat multinasional Itali melancarkan Pusat Siber Serantau baharu di Malaysia bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam teknologi keselamatan global, sekali gus menegaskan peranan negara ini sebagai hab strategik di Asia Tenggara.

Pemilihan Malaysia sebagai lokasi baharu syarikat global utama dalam bidang Aeroangkasa, Pertahanan, dan Keselamatan (AD&S) itu dibuat berikutan kecemerlangan negara dalam memperkukuh keselamatan siber serta sistem undang-undang yang maju dalam bidang berkaitan.

Pusat baharu di Menara PHB, Saujana Resort, Shah Alam itu akan memberikan sumbangan ketara kepada perlindungan terhadap ancaman hibrid baharu di peringkat global, seterusnya mengukuhkan autonomi digital dan menyokong pembangunan lestari Malaysia dan seluruh rantau.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, syarikat Itali itu bukan sekadar berminat terhadap pembangunan infrastruktur fizikal seperti helikopter, tetapi turut menumpukan aspek keselamatan siber yang dianggap kritikal bagi pertahanan moden.

Ujarnya, hasrat Leonardo ialah melihat Malaysia bukan hanya sebagai rakan dagang, tetapi sebagai hab strategik keselamatan siber serantau, selaras dengan usaha kerajaan memperkukuhkan hubungan dua hala serta meningkatkan kapasiti digital negara. 

“Kerjasama yang diperkasa ini membuka peluang lebih luas kepada Malaysia untuk muncul sebagai peneraju keselamatan siber di rantau Asia Tenggara.

“Pembukaan pusat ini juga memberi isyarat kukuh kepada pasaran, terutama ketika negara bersedia menamatkan tempoh pengerusi ASEAN.

“Kehadiran mereka menunjukkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia, selain mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi teknologi dan keselamatan siber paling berdaya saing di rantau ini,” katanya pada media selepas Majlis Pelancaran Pusat Siber Serantau Leonardo di Dataran PHB, Shah Alam, semalam. 

Beliau berkata, Malaysia komited memperkukuhkan hubungan dua hala dengan Itali, khususnya dalam bidang keselamatan siber dan teknologi pertahanan, susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu tahun lalu.

“Keupayaan Malaysia dalam ekonomi digital, yang kini merangkumi satu perempat keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjadikan keselamatan data dan perlindungan siber keutamaan utama kerajaan,” ujarnya. 

Beliau turut memuji kejayaan Leonardo mewujudkan sovereign cloud atau pengkomputeran awan berdaulat di Itali, sambil memaklumkan Malaysia sedang meneliti model tersebut sebagai rujukan untuk pembangunan pada masa depan.

Dalam pada itu, Fahmi menegaskan sektor swasta perlu berubah dengan mewujudkan jawatan Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat (CISO) bagi memperkukuh budaya keselamatan digital dalam organisasi.

Pusat baharu di Kuala Lumpur itu adalah sebahagian daripada Global CyberSec Centre (GCC), penyedia perkhidmatan keselamatan siber kritikal untuk misi dan dipercayai Leonardo yang beribu pejabat di Chieti (Itali). 

Ia turut menjadi sebahagian daripada Pusat Siber Serantau Bersekutu yang sudah beroperasi di Brussels (Kesatuan Eropah), Bristol (United Kingdom) dan Riyadh (Arab Saudi). 

Pengarah Urusan, Bahagian Penyelesaian Siber dan Keselamatan Leonardo, Andrea Campora berkata, pembukaan Pusat Siber Serantau itu mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai pemimpin teknologi keselamatan global, selaras usahanya menangani ancaman siber yang semakin rumit dan berkembang pantas.

Katanya, inisiatif itu terus mengukuhkan peranan utama Leonardo untuk melindungi keselamatan global, di samping pemerolehan terbaharu dalam seni bina kepercayaan sifar. 

“Malaysia dipilih kerana kecemerlangan negara dalam bidang keselamatan siber serta komitmennya melindungi infrastruktur kritikal.

“Menerusi pelaburan ini di Malaysia, kami berusaha menyokong transformasi infrastruktur kritikal seperti Pusat Awan Negara dan Operasi Keselamatan Negara menjadi Aset Strategik Berautonomi,” ujarnya. 

Rangkaian global GCC dirangka untuk memberikan jaminan bagi misi siber para pelanggan strategik termasuk organisasi pertahanan dan infrastruktur kritikal negara dengan menggabungkan proses, maklumat mengenai ancaman, dan teknologi canggih terkini. 

Model bersekutu itu memastikan keupayaan untuk beroperasi di peringkat global bagi mencegah, mematahkan dan menangani ancaman baharu, dan juga kawalan terhadap data strategik yang menghormati sepenuhnya kedaulatan setiap negara.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN