PETALING JAYA: Syarikat peranti perubatan, LAC Med Bhd. (LAC Med) membuka dagangan pada harga 75 sen sesaham, menyamai harga tawaran awam permulaan (IPO) pada penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Saham tersebut kemudian mencatat kenaikan segera kepada 76 sen pada pukul 9:01 pagi, dengan kira-kira 5.8 juta saham bertukar tangan. Pada harga IPO, kumpulan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM300 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan LAC Med, Liew Yoon Poh berkata, penyenaraian di Pasaran Utama menandakan detik penting bagi kumpulan itu.
“Kami telah mengalami pertumbuhan yang signifikan dalam dekad kedua perjalanan syarikat dan membina kehadiran kukuh sebagai penyedia terkemuka mesin radiografi dan ultrasound melalui hanya dua jenama yang diberi kuasa sebelum ini.
“Apabila memasuki fasa seterusnya dengan portfolio 11 jenama yang diberi kuasa, kami bersedia untuk maju lebih jauh, disokong oleh rangkaian penawaran yang lebih luas dan pelbagai untuk melonjakkan prestasi kami,” katanya dalam kenyataan.
Kumpulan itu sedang merancang fasa pertumbuhan seterusnya dengan portfolio peranti perubatan dan penyelesaian yang lebih luas untuk memenuhi keperluan sektor penjagaan kesihatan yang berkembang di Malaysia.
Ini sekali gus mengembangkan kehadirannya di Indonesia untuk menambah aliran pendapatan luar negara baharu kepada kumpulan.
Beliau berkata, kumpulan berhasrat untuk menggerakkan penyelesaian digital dan berkuasa kecerdasan buatan (AI) bagi memajukan sektor penjagaan kesihatan negara.
“Ini sebagai langkah untuk memperkukuh kedudukan sebagai salah satu peneraju pasaran di Malaysia.
“Matlamat kami adalah untuk membolehkan penyedia penjagaan kesihatan mengoptimumkan penggunaan aset dan penjagaan pesakit, sambil memperkukuh asas pendapatan berulang bagi memastikan pertumbuhan yang mampan dan jangka panjang.
“Di luar Malaysia, kami sedang mengejar peluang pertumbuhan baharu di Indonesia.
“Kami akan memanfaatkan dua dekad pengalaman dan portfolio jenama kukuh untuk meniru kejayaan yang telah dicapai di Malaysia dan menterjemahkannya kepada pertumbuhan mampan di pasaran Indonesia,” ujarnya.
Sejak 2023, LAC Med telah menambah sembilan jenama antarabangsa ke dalam portfolionya, menjadikan jumlah keseluruhan 11 jenama, sekali gus memperkukuh trajektori pertumbuhan kumpulan.
Kini, portfolio LAC Med merangkumi peralatan radiografi, mesin ultrasound dan MRI, barangan perubatan consumable, perisian dan sistem.
Dengan pelbagai penawaran itu, kumpulan bersedia untuk membantu penyedia perkhidmatan kesihatan menyampaikan perkhidmatan dengan lebih cekap, memastikan pesakit menerima rawatan yang tepat pada masanya dan berkualiti.
Dalam pada itu, kumpulan turut merancang untuk mengembangkan kehadirannya di Indonesia bagi menyokong pertumbuhan pendapatan pada masa hadapan.
Mereka akan menubuhkan pejabat cawangan secara berperingkat di Sumatera, Surabaya dan Kalimantan bagi memberikan kualiti perkhidmatan yang konsisten dan sokongan teknikal yang boleh dipercayai. – UTUSAN










