Jualan kenderaan diunjur 774,000 unit pada 2026 - Utusan Malaysia

Jualan kenderaan diunjur 774,000 unit pada 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah volum industri (TIV) kenderaan di Malaysia dijangka susut dua peratus kepada 774,000 unit pada 2026, dipengaruhi sentimen pengguna yang lebih berhati-hati, peningkatan harga jualan purata serta persaingan sengit dalam industri.

CIMB Securities Sdn. Bhd. berkata, ini berdasarkan penurunan 4.6 peratus bulan ke bulan pada November 2025 kepada 72,509 unit, dipacu oleh jualan lebih lemah bagi jenama nasional.

“Penyusutan tersebut berlaku susulan penghantaran kenderaan yang mencatat paras tertinggi pada Oktober, dengan jualan kenderaan penumpang dan komersial masing-masing merekodkan penurunan.

“Jualan jenama nasional merosot 5.1 peratus bulan ke bulan, lebih tinggi berbanding kejatuhan 2.5 peratus bulan ke bulan bagi jenama bukan nasional.

“Bagaimanapun, secara tahunan, TIV November 2025 meningkat 5.1 peratus disokong oleh kempen promosi agresif serta pembelian awal kenderaan elektrik (EV) menjelang tamatnya pengecualian cukai EV import sepenuhnya bermula 2026,” katanya dalam nota penyelidikan.

CIMB Securities berkata, bagi tempoh 11 bulan 2025, TIV menyusut 1.2 peratus tahun ke tahun kepada 727,834 unit, namun kadar penyusutan itu semakin mengecil berbanding awal tahun.

“Prestasi industri yang lebih lemah pada awal tahun, khususnya pada Januari 2025, telah memberi tekanan kepada keseluruhan jualan tahunan.

“Walaupun prestasi industri keseluruhan lemah, Proton mencatat pertumbuhan jualan 3.0 peratus tahun ke tahun dalam tempoh 11 bulan 2025, dipacu oleh permintaan kukuh terhadap segmen SUV susulan pelancaran model baharu,” katanya.

Dalam tempoh sama, jualan Perodua menurun 0.9 peratus tahun ke tahun, sejajar dengan prestasi keseluruhan pasaran, manakala Toyota kekal sebagai peneraju jenama bukan nasional dengan pegangan pasaran 11.9 peratus walaupun jualan susut 1.9 peratus.

Jenama kenderaan dari China terus mencatat peningkatan ketara apabila pegangan pasaran berkembang kepada 6.3 peratus dalam tempoh 11 bulan 2025 berbanding 3.5 peratus pada tempoh sama tahun sebelumnya, didorong permintaan tinggi terhadap model BYD, Jaecoo, Chery dan MG.

Sementara itu, CIMB Securities menjangkakan prestasi jualan kenderaan akan bertambah baik secara suku tahunan pada suku keempat 2025, disokong oleh pelancaran model baharu daripada jenama nasional serta pembelian saat akhir EV import sepenuhnya sebelum tamat tempoh pengecualian cukai.

Katanya, pelancaran Proton Saga versi terkini serta model EV pertama Perodua, QV-E, dijangka menyokong permintaan jangka pendek dan memberi kesan limpahan positif ke tahun 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN