JIKA anda pening dengan kewujudan jenama-jenama baharu dari China, jangan runsing kerana wartawan permotoran sendiri pun pening kepala melihat kemunculan belasan nama-nama baharu dari tanah besar itu.
Namun begitu, sebahagian besarnya datang dari satu jenama besar. Contohnya, duduk di bawah kumpulan Chery ialah Chery sendiri, kemudian Omoda, Jaecoo, Exeed dan iCar.
Dari empat sub-jenama itu, tiga sudah ada di Malaysia iaitu Omoda, Jaecoo dan terkini, i-Car yang ditukar ejaannya ke i-Caur kerana jenama itu sudah digunakan oleh beberapa syarikat lain di luar negara dan di dalam Malaysia sendiri (bukan kereta tetapi syarikat lain).
i-Caur di Malaysia mula membuka mata ramai kerana reka bentuk gaya pacuan empat roda (4×4) yang digemari ramai dan i-Caur 03 iWD ini pula hadir dengan harga yang rendah berbanding dengan kebanyakan 4×4 tradisional yang lain.
Dari segi dimensi, i-Caur 03 iWD ini lebih panjang dari Honda HR-V dan pendek sedikit dari BYD Atto 3 tetapi jika dikirakan tinggi hingga ke bumbung, i-Caur memang lebih tinggi dari Perodua Ativa, Honda WR-V, HR-V dan CR-V, BYD Atto 3 dan Proton eMAS 7 pun.
Namun begitu, sebagai sebuah kenderaan yang dikatakan mampu meredah semak samun dan hutan belukar, kadar lega bumi i-Caur 03 iWD ini lebih rendah dari Ativa, WR-V dan 4×4 sejati, Suzuki Jimny.
Dengan berat tanpa muatan sebanyak 1,874 kilogram (kg) iaitu 800 kg lebih berat dari Ativa, i-Caur 03 iWD ini ialah sebuah kenderaan yang lebih sesuai duduk di atas jalan raya dari menuruni selut dan lurah kerana dengan berat menghampiri dua tan, ia memerlukan tayar yang lebih tebal untuk pemanduan lasak.
Tayar 4×4 yang sebenar pula jauh lebih berat dari tayar biasa, dan jika i-Caur 03 iWD ini menggunakan tayar tersebut, beratnya dengan mudah melepasi dua tan, dan ini akan menggugat jarak gerak pula!
Bateri yang digunakan ialah bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) sebesar 69.8 kWh dengan jarak gerak 418 kilometer (km) mengikut kiraan NEDC yang memang kita tahu sangat optimistik.
Pengecas terbina pula ialah 80kW DC dan 6.6kW AC, lengkap dengan fungsi V2L yang membolehkan kita menggunakan baterinya untuk perkakasan elektrik.
i-Caur ini juga mempunyai dua motor elektrik, depan dan belakang untuk memungkinkan fungsi IWD (Intelligent All Wheel Drive) itu.
Tenaga terhasil ialah 275 hp dan daya kilas 385 Nm, sementara pecutan 0-100 kilotemer sejam (kmsj) boleh dilakukan dalam 6.5 saat dan halaju maksimum terhad pada 150 kmsj.
Ruang kabin cukup luas iaitu satu kelebihan kendertaan elektrik (EV) berbanding dengan jentera enjin pembakaran dalaman (ICE) kerana ia tidak ada enjin dan ia tidak memerlukan ruang untuk aci pemacu (drive shaft) ke roda belakang.
Seperti biasa, China menarik perhatian pembeli dengan ruang kabin yang bermutu tinggi dan skrin yang lebih besar dari TV National Quintrix tahun 70an hingga 80an.
Inilah resipi China, memberikan produk bermutu tinggi pada harga yang lebih rendah, seperti apa yang dilakukan oleh Korea dahulu sebelum mereka naikkan harga.
Skrin sesentuh sebesar 15.6 inci itu membolehkan penggunaan Apple CarPlay dan Android Auto nirwayar dan menggunakan chipset Qualcomm Snapdragon 8155, menjanjikan operasi yang lancar. Chip itu bukan yang terbaik di dalam pasaran, tetapi masih jauh lebih baik dari chipset yang digunakan di dalam kebanyakan kenderaan Jepun pada harga bawah RM250,000.
Selain dari itu, i-Caur 03 iWD turut dilengkapkan dengan sistem ADAS Tahap 2, tempat duduk hadapan dengan fungsi mengurut serta 10 mod pemanduan dan bumbung panoramik serta suria.
Ruang kargo di belakang ialah sebesar 450 liter sementara ada kotak empat segi di belakang yang mampu memuatkan 40 liter ruangan. Jangan risau kerana kotak comel itu bersambung dengan sistem kunci berpusat i-Caur ini untuk memastikan keselamatan barangan yang disimpan di situ.
Pemanduan i-Caur 03 iWD ini sedikit keras dan ini ditambah lagi dengan saiz roda 19 inci yang terasa berat ketika melanda lubang dan bonggol. Masalah ini boleh diselesaikan dengan mudah jika kita turunkan berat kombinasi roda tayar.
Tindak balas stereng boleh dikatakan normal dan tidak terlalu ringan sementara kawalan sistem gantungan semasa mengambil selekoh pula baik dan tidak menimbulkan rasa tidak yakin yang teruk.
Penulis syak i-Caur saja memberi sedikit rasa pemanduan seperti sebuah kenderaan ‘ladder frame’ kerana dapat dirasakan ‘buaian’ kerangka pada laluan lurus. Ini menarik sebenarnya kerana ia memberikan ilusi kita sedang memandu sebuah kenderaan yang besar.
Pemanduan urban memang terbukti sangat sesuai dengan i-Caur 03 iWD ini kerana ia selesa dengan ruang yang mencukupi.
Untuk EV pertama dan gaya 4×4, i-Caur 03 adalah pilihan yang menarik tetapi jika tidak ada cadangan untuk beriadah di hutan, mungkin varian motor elektrik tunggal lebih afdal. – UTUSAN










