Bursa Malaysia dijangka cecah 1,700 mata hujung tahun

Bursa Malaysia dijangka cecah 1,700 mata hujung tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia diunjur mampu meningkat melepasi paras 1,650 mata menjelang hujung tahun dan berkemungkinan mencecah 1,700 mata sekiranya momentum pemulihan berterusan.

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Barjoyai Bardai berkata, setakat tahun ini, jumlah pengaliran keluar modal asing dianggarkan telah melebihi RM16 bilion, sekali gus memberi tekanan kepada pergerakan pasaran ekuiti tempatan.

“Walau bagaimanapun, pasaran kekal optimis terhadap prospek jangka sederhana dan panjang. 

“Dengan sokongan asas ekonomi yang kukuh, termasuk prestasi ekonomi domestik yang memberangsangkan serta pengukuhan nilai ringgit, sentimen pasaran dijangka bertambah baik dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Menurut Barjoyai, keyakinan pelabur dijangka meningkat seiring dengan kestabilan makroekonomi dan langkah dasar yang menyokong pertumbuhan, sekali gus berpotensi menarik semula minat pelabur asing ke pasaran tempatan.

“Tahun depan akan menjadi tahun kemuncak didalam pusingan ekonomi kali ini. 

“Ekonomi, pasaran saham dan pasaran hartanah akan terus meningkat sekurang-kurang nya sehingga ke pertengahan 2026. Selepas itu, kita kena bersedia untuk menghadapi pasaran yang mula menurun,” katanya. 

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, Bursa Malaysia dijangka bergerak dalam julat 1,630 hingga 1,645 mata pada hujung tahun dipengaruhi oleh aktiviti pengambilan untung selepas mencatatkan pertumbuhan berterusan sehingga mencapai paras tertinggi bagi 2025.

“Pengambilan untung akan berlaku apabila para pelabur mula menyelaraskan semula portfolio masing-masing menjelang musim cuti panjang perayaan Krismas dan sambutan Tahun Baharu 2026, yang lazimnya menyaksikan penurunan volum dagangan di pasaran global.

Dalam masa sama, jelasnya, prestasi Bursa Malaysia dijangka bergerak seiring dengan perkembangan pasaran saham lain di rantau Asia, yang turut berdepan sentimen berhati-hati menjelang penutup tahun.

“Dari sudut global, data ekonomi terkini dari Amerika Syarikat (AS) khususnya peningkatan kadar pengangguran, telah mencetuskan spekulasi bahawa Rizab Persekutuan (Fed) mungkin mula melaksanakan pemotongan kadar faedah seawal suku pertama 2026. 

“Jangkaan ini telah mempengaruhi hala tuju pasaran kewangan global.

“Keadaan tersebut dijangka mendorong aliran keluar dana daripada bon terbitan AS kepada pasaran ekuiti, termasuk pasaran saham AS dan pasaran ekuiti lain di seluruh dunia. Malaysia dijangka turut mendapat manfaat daripada aliran modal ini, sekali gus memberikan sokongan positif kepada Bursa Malaysia pada tahun hadapan,” katanya.

Selain itu, Aimi Zulhazmi berkata, persaraan Pengerusi Fed yang dijangka berlaku pada suku pertama 2026 dan penggantian oleh calon yang dipercayai lebih menyokong dasar Presiden AS,  Donald Trump, dilihat berpotensi memastikan dasar pemotongan kadar faedah diteruskan. 

“Langkah tersebut bertujuan menyokong ekonomi AS yang menunjukkan tanda-tanda pertumbuhan perlahan.

“Secara keseluruhan, meskipun pasaran dijangka bergerak sederhana dalam jangka pendek, prospek jangka sederhana hingga panjang Bursa Malaysia kekal positif, disokong oleh faktor global dan aliran modal antarabangsa,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN