Bayu68 jadi hab komersial pertama OSK Iringan Bayu di Seremban

Bayu68 jadi hab komersial pertama OSK Iringan Bayu di Seremban

Bayu68 akan berfungsi sebagai hab perniagaan dinamik untuk komuniti sedia ada dan populasi OSK Iringan Bayu yang semakin berkembang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OSK Property memperkenalkan Bayu68, pembangunan komersial pertama di perbandaran OSK Iringan Bayu seluas 694.84 hektar yang pesat membangun di Seremban dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM78.18 juta.

Direka sebagai nadi komuniti, Bayu68 akan berfungsi sebagai hab perniagaan dinamik untuk komuniti sedia ada dan populasi OSK Iringan Bayu yang semakin berkembang, serta kawasan perumahan bersebelahan dengan lebih ramai penduduk dijangka berpindah masuk apabila penyerahan fasa kediaman baharu dilakukan secara berperingkat.

Bayu68 juga dibangunkan di atas tanah seluas 2.84 hektar dengan harga bermula dari RM650,000 menawarkan 68 unit komersial yang terdiri daripada pejabat kedai satu dan dua tingkat, berkeluasan antara 1,650 kaki persegi hingga 6,203 kaki persegi serta pilihan menghadap jalan utama atau menghadap Forest Park yang akan dibangunkan.

Ketua Pegawai Eksekutif OSK Property, Ong Ghee Bin berkata, Bayu68 merupakan langkah semula jadi seterusnya dalam pertumbuhan OSK Iringan Bayu, menghimpunkan perniagaan, tawaran gaya hidup dan perkhidmatan yang akan meningkatkan pengalaman hidup komuniti.

“Ini bukan sekadar ruang komersial, tetapi tentang mewujudkan peluang dan memupuk ekonomi tempatan yang berkembang maju.

“Reka bentuknya yang mesra perniagaan menawarkan susun atur fleksibel dengan dinding yang boleh diubah suai, fakad kaca sepenuhnya untuk keterlihatan maksimum, serta ruang alfresco yang sesuai untuk perniagaan makanan dan minuman (F&B) serta runcit” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Bayu68 mencapai kejayaan besar apabila semua unit terbuka telah habis dijual dalam masa hanya 3 jam semasa acara pemilihan unit dan tandatangan SPA. Untuk masa ini, hanya unit Bumiputera sahaja masih ada untuk pilihan para pembeli.

Penjualan pantas itu mencerminkan daya tarikan komersial OSK Iringan Bayu yang semakin meningkat, yang kini merangkumi hampir 3,500 rumah yang siap dibina dan komuniti seramai hampir 10,000 penduduk.

Sejak penubuhannya pada 2017, OSK Iringan Bayu telah berkembang menjadi sebuah perbandaran yang pesat, meluaskan kawasan daripada 311.60 hektar kepada lebih 687.96 hektar hari ini.

Ong Ghee Bin berkata, setakat ini, hampir 3,500 unit kediaman telah disiapkan merangkumi 15 fasa perumahan, dengan hampir 70 peratus telah diduduki.

Jelasnya, ia bersamaan dengan kawasan tadahan hampir 10,000 penduduk yang sedia ada, memberikan Bayu68 pasaran yang kukuh sejak awal.

“Kesalinghubungan juga telah dipertingkatkan dengan pembukaan jalan baharu yang menghubungkan OSK Iringan Bayu secara terus ke Seremban 2, sekali gus mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua destinasi kepada hanya tujuh minit.

“Laluan terus ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan untuk penduduk, malah meluaskan pangkalan pelanggan berpotensi bagi perniagaan di Bayu68, mengukuhkan kedudukannya sebagai hab komersial untuk Seremban dan kawasan sekitarnya.

“Terletak di tengah-tengah komuniti yang sedang berkembang, Bayu68 merupakan peluang pelaburan mercu tanda sebagai pembangunan komersial pertama dalam OSK Iringan Bayu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terletak dalam sebuah perbandaran yang dibangunkan berteraskan alam semula jadi dan komuniti, Bayu68 melengkapi ciri-ciri bertaraf anugerah OSK Iringan Bayu.

“Ini termasuk Wetland Park seluas 22 ekar yang telah memenangi FIABCI World Prix d’Excellence Awards 2025 (Pemenang Emas Dunia, Kategori Alam Sekitar).

“OSK Iringan Bayu juga menawarkan rumah teres dua tingkat yang direka dengan teliti, termasuk Irumia (bermula dari RM406,024), Reveria (bermula dari RM430,058) dan Aleria (bermula dari RM448,688) bagi memenuhi keperluan gaya hidup yang pelbagai,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web iringanbayu.com.my atau hubungi +6013-255 7222.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN