PETALING JAYA: RHB Investment Bank Bhd. menyemak naik unjuran jumlah industri keseluruhan (TIV) 2025 kepada 795,000 unit daripada 730,000 unit bagi sektor automotif, membayangkan penurunan tiga peratus tahun ke tahun.
Bank pelaburan berkata, unjuran tersebut disokong oleh trend makroekonomi yang memberangsangkan serta prestasi bermusim yang lebih kukuh pada suku keempat 2025.
“Ini sejajar dengan TIV dari awal tahun ini kini 2025 sebanyak 727,800 unit (susut satu peratus tahun ke tahun), iaitu 92 peratus daripada unjuran 2025 kami,” katanya dalam nota penyelidikan.
RHB berkata, prestasi pendapatan sektor automotif bagi suku September secara keseluruhan adalah seiring jangkaan, dengan Sime Darby (SIME) mencatat keputusan selari anggaran, manakala Tan Chong Motor (TCM) mencatat prestasi di bawah jangkaan dan MBM Resources pula sedikit mengatasi ramalan.
Katanya, SIME merekodkan keuntungan teras sebanyak RM335 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2026 berakhir Jun, susut lapan peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, namun masih dalam lingkungan jangkaan.
“Prestasi tersebut didorong oleh pemulihan mengejutkan segmen motor di China yang kembali mencatat keuntungan dengan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) teras RM126 juta, hasil penerimaan rebat khas, penyempitan diskaun serta peningkatan jualan sebanyak lapan peratus suku ke suku.
“Bagaimanapun, prestasi ini sebahagiannya diimbangi oleh kelemahan dalam perniagaan industri apabila margin PBIT segmen itu merosot kepada 6.6 peratus berbanding 8.7 peratus pada suku sebelumnya, susulan kelewatan penghantaran peralatan baharu di Australia serta sumbangan selepas jualan yang lebih rendah.
“SIME menjangkakan peningkatan jualan serta sedikit pemulihan margin pada suku akan datang, disokong oleh harga jualan purata yang lebih tinggi dan kos inventori yang lebih rendah,” ujarnya.
Dalam pada itu, TCM pula terus mencatat kerugian suku tahunan akibat volum jualan yang lemah dan kos tetap yang tinggi.
Tambahnya, keadaan ini dijangka berterusan memandangkan pengurusan belum mengumumkan strategi jelas bagi menangani kemerosotan jualan dan kerugian berpanjangan.
“Namun begitu, saranan ‘beli’ ke atas saham TCM dikekalkan berdasarkan nilai intrinsik aset asas kumpulan itu, walaupun tempoh realisasi nilai berkenaan masih tidak menentu.
“Prospek TCM turut disokong oleh surat hasrat dengan Perodua untuk menyewakan sebahagian barisan pemasangan bagi projek kenderaan elektrik, yang berpotensi membantu mengoptimumkan kapasiti loji dan mengurangkan tekanan kos tetap,” ujarnya.
Sementara itu, bank pelaburan berkata, MBM Resources mencatat prestasi sedikit lebih baik daripada jangkaan, didorong oleh volum jualan Perodua yang lebih tinggi serta sumbangan keuntungan daripada syarikat bersekutu.
“Ini membawa pendapatan teras sembilan bulan tahun kewangan 2025 kepada RM233 juta. Pihak pengurusan memaklumkan tempahan tertunggak Perodua kekal berdaya tahan pada 89,000 unit, hampir tidak berubah berbanding suku sebelumnya,” ujarnya.
Bank pelaburan mengekalkan penarafan ‘neutral’ terhadap sektor automotif dan alat ganti automotif. – UTUSAN










