Wasco Greenergy sasar raih RM75 juta menerusi IPO di Pasaran Utama

Wasco Greenergy sasar raih RM75 juta menerusi IPO di Pasaran Utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Wasco Greenergy Berhad menyasarkan untuk mengumpul kira-kira RM75 juta melalui pelancaran prospektus tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd. (Bursa Securities).

IPO itu melibatkan terbitan saham baharu pada harga RM1 sesaham, melibatkan terbitan awam sebanyak 75 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 75 juta saham sedia ada yang dipegang oleh syarikat itu.

Secara keseluruhan, pelaksanaan itu akan menyaksikan sehingga 30 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan disediakan kepada pelabur.

Daripada RM75 juta yang diperoleh daripada terbitan awamnya, sebanyak 50.9 peratus atau RM38.2 juta daripada hasil itu akan disalurkan ke arah pengembangan perniagaannya dan menyokong peralihannya untuk memiliki dan mengendalikan loji kuasa wap biojisim. 

Selebihnya akan digunakan untuk membeli peralatan dan jentera baharu, mengembangkan operasinya di Indonesia, pendigitalan sistem dan proses perniagaan mereka, menyokong penyelidikan dan pembangunan serta membiayai perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

Ketua Pegawai Eksekutif Greenergy, Lee Yee Chong berkata, ia menandakan satu fasa penting dalam perjalanan pertumbuhan syarikat.

“IPO ini akan menyokong strategi kami untuk memperluaskan penyelesaian tenaga stim biojisim dan meningkatkan kecekapan tenaga dalam industri. 

“Dengan sokongan rakan kongsi dan para pemegang saham, kami yakin dapat memperkukuh kehadiran serantau secara bertanggungjawab dan mampan,” katanya dalam majlis prospektus syarikat itu di sini semalam.

Wasco Greenergy merupakan penyedia sistem tenaga boleh baharu utama negara, merangkumi dandang biojisim, sistem tenaga stim, penjana turbin stim dan peralatan kilang pemprosesan minyak sawit.

Operasinya meliputi Malaysia dan Indonesia, dengan pelanggan industri merentasi sektor perladangan sawit, oleokimia, makanan dan minuman, serta pemprosesan kertas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Kumpulan Perbankan Pelaburan CIMB Investment Bank Berhad, Nor Masliza Sulaiman berkata, penyenaraian Greenergy menunjukkan permintaan kukuh terhadap teknologi tenaga hijau dalam peralihan tenaga negara.

“Keupayaan kejuruteraan Wasco Greenergy menyediakan platform kukuh untuk merebut peluang dalam ekosistem tenaga boleh baharu yang berkembang pesat,” katanya.

Permohonan akan ditutup pada 28 November, manakala penyenaraiannya dijadualkan pada 11 Disember ini.

CIMB Investment Bank Berhad merupakan Penasihat Utama dan Pengunderai Pengurus, manakala CIMB dan Maybank Investment Bank Berhad bertindak sebagai Pengurus Buku Bersama serta Penaja Jamin Bersama. CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd turut berperanan sebagai Pengurus Buku Bersama.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN