PETALING JAYA: Unique Fire Holdings Berhad (Unique Fire), penyedia utama sistem perlindungan dan keselamatan kebakaran, mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM3.51 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 September 2026, meningkat 4.03 peratus berbanding RM3.37 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Hasil operasi syarikat meningkat kepada RM30.78 juta, naik 5.75 peratus berbanding RM29.11 juta pada suku kedua 2025, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) naik kepada RM4.61 juta, mencatat pertumbuhan 2.69 peratus.
Pengarah Urusannya, Liew Sen Hoi berkata, sektor pembinaan di Malaysia kekal berkembang, disokong oleh pelaksanaan projek infrastruktur utama dan pelaburan swasta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Kami berbesar hati dengan prestasi suku kedua ini, yang membuktikan ketahanan model perniagaan serta permintaan berterusan terhadap produk keselamatan kebakaran yang diperakui,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, analisis per segmen turut menunjukkan prestasi yang stabil dalam divisyen utama syarikat.
Segmen pemasangan mencatat peningkatan 7.6 peratus dengan hasil RM15.32 juta, manakala segmen pengedaran naik 9.0 peratus kepada RM8 juta.
Bagaimanapun, segmen pembuatan pula mencatat sedikit penyusutan kepada RM6.89 juta berbanding RM6.90 juta sebelumnya.
Tambahnya, dengan kapasiti pengeluaran yang diperluas kini beroperasi sepenuhnya, Unique Fire bersedia memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.
“Usaha sama kami dengan Z10 Pte Ltd dan E&E Electrical Solutions Sdn. Bhd. juga membolehkan kami memperluas portfolio kepada penyelesaian lampu kecemasan dan papan tanda.
“Kami optimis dapat mengekalkan pertumbuhan dalam suku-suku seterusnya,” katanya.-UTUSAN










