Tokyo Mobility Show 2025: Kukuh pada konsep sahaja
TOKYO Mobility Show 2025 (TMS 2025) yang sedang berlangsung menampilkan banyak konsep baharu, tetapi secara amnya, ia jauh dari apa yang diperlukan oleh pasaran sekarang.
Jepun tidak ada jenama baharu kerana semuanya adalah pemain legasi yang sudah berpuluh tahun dalam industri automotif. Namun begitu, kebanyakannya menampilkan konsep-konsep yang terlalu futuristik dan tidak menjamin ia akan dihasilkan.
Namun begitu, ada beberapa jenama yang menampilkan kenderaan-kenderaan yang mungkin boleh menjadi kenyataan dan ini memberikan sedikit sinar kepada peminat jenama kenderaan Jepun.
Di bawah ialah beberapa kenderaan konsep yang menarik perhatian penulis ketika menghadiri acara yang berlangsung setiap dua tahun itu.
Toyota Corolla Concept
Toyota kali ini menampilkan konsep ‘To You, Toyota’ dan memberi bayangan bahawa kali ini syarikat gergasi itu mahu menghasilkan kenderaan yang dimahukan oleh pasaran.
Bangkit dari tidur lena yang lama, Toyota akhirnya akur bahawa model segmen C mereka, Corolla perlukan perubahan drastik.
Corolla adalah segmen C yang cukup terkenal di seluruh dunia tetapi Toyota sentiasa memberikan sebuah bentuk yang sangat generik untuk model tersebut.
Kali ini, Toyota mengambil keputusan bahawa Corolla perlu nampak seperti apa yang diidamkan oleh pasaran iaitu sebuah sedan sporty.
Ini tidak mustahil kerana Prius terkini membuktikan bahawa Toyota boleh membuat model-model lazim mereka menjadi sesuatu yang lebih menarik.
Reka bentuk muncung hadapan dipenuhi dengan lampu-lampu LED sementara bahagian belakang nampak lebar dengan spoiler yang cukup agresif.
Jika ini ialah Corolla Altis yang akan diperkenalkan, ia akan membuatkan Honda Civic seperti kenderaan yang dipandu oleh pak cik dan mak cik.
Honda Prelude generasi keenam
Dalam era 80an hingga 90an, Honda Prelude adalah jenama popular dalam kalangan ‘playboy’.
Kenderaan dua pintu atau coupe dari Honda ini ialah sebuah kenderaan sporty dengan teknologi terkini serta memberikan fokus kepada pemanduan yang lebih agresif tetapi kekal selesa.
Prelude generasi keenam yang dipamerkan di TMS 2025 ini bukannya model konsep, tetapi memang telah dilancarkan beberapa bulan dahulu.
Ia nampak lebih cantik dari dalam gambar, tetapi reka bentuknya lebih matang dan lebih ke arah sebuah Grand Tourismo atau GT.
Sekali imbas, bentuk bumbung akan mengingatkan kita kepada Nissan 370Z tetapi muncung hadapan menggunakan banyak elemen Honda.
Prelude terkini ini juga menggunakan enjin 2.0 liter hibrid dan banyak komponen sistem gantungan dan kerangka dikongsi dengan Honda Civic Type R.
Bezanya, ini adalah sebuah automatik. Bakal hadir ke Malaysia jika ada permintaan yang mencukupi.

Honda Super-ONE
Ini adalah konsep model kenderaan elektrik (EV) kompak terbaharu Honda dan ia memang mengingatkan kita kepada model Honda City Turbo pada zaman 90an.
Super-ONE datang dengan transmisi yang mempunyai simulasi tujuh kelajuan dan sistem elektriknya dilengkapkan dengan e:Dash BOOSTER yang meningkatkan kuasa motor elektrik untuk loncatan pecutan.
Selain dari mengingatkan orang ramai bahawa legasi adalah sesuatu yang tidak ada pada jenama baharu, Super-ONE ini juga membuktikan bahawa Honda masih mempunyai teknologi-teknologi EV yang belum dikongsi.
Apa yang pasti, dengan reka bentuk yang cukup agresif, ini mampu memberi saingan sengit kepada BMW Mini Electric.
Mazda Vision X-Coupe
Mazda masih belum selesai dengan enjin petrol dan Vision X-Coupe ini menggunakan enjin rotari tetapi dibantu dengan sistem Plug-In Hybrid.
Hasilnya, sebuah coupe agresif dengan 510PS dan jarak gerak sejauh 800 kilometer (km). Jika hanya tenaga elektrik digunakan, jarak gerak hibrid plug-in elektrik (PHEV) ini ialah 160 km.
Reka bentuk Kodo masih terserlah, tetapi bahagian belakang menampilkan bentul lampu yang cukup ‘unik’ dan cermin belakang yang benar-benar kecil.
Ruang dalam Mazda semakin menarik dan ini menjadikan Honda dan Toyota nampak seperti kenderaan lama.
Benar, Vision X-Coupe ini menarik tetapi ia tidak akan murah, bermakna sekali lagi Jepun masih mempamerkan konsep-konsep untuk pembeli mewah sahaja.
Konsep agresif Lexus
Lexus, jenama mewah di bawah payung Toyota nampaknya menjadikan TMS 2025 ini sebagai pentas untuk mencabar jenama-jenama mewah Eropah yang lain.
Ada beberapa model yang dipertontonkan, antaranya ialah Lexus LS Coupe Concept, sebuah crossover yang cukup garang luar dan dalam.
Ia memberi petanda barisan kenderaan utiliti sukan (SUV) dari Lexus akan menjadi lebih agresif dari segi reka bentuk dan jauh berbeza dari model-model dari jenama China.
Lexus Sport Concept pula adalah sebuah jentera supercar yang kemungkinan besar menggantikan LFA.
Ramai juga berkata, ia adalah model konsep paling cantik sepanjang pameran TMS 2025 ini dan kemungkinan besar betul.
Rendah, lebar dan garang, Sport Concept adalah sebuah konsep yang wajib dibuat oleh Lexus.
Turut menjadi perhatian ialah Lexus LS Micro Concept, sebuah motosikal dengan tiga roda (dua di depan dan satu di belakang).
Pipih menegak, ia seperti boleh tumbang jika lalu di tepi seekor kerbau yang bersin.
Walaupun nampak mengarut dan tak mungkin akan dihasilkan, motosikal roda tiga ini boleh memuatkan sebuah kerusi roda. Ia juga membuktikan Jepun masih hidup di dalam awangan kerana konsep seperti ini kurang relevan dengan pasaran global.
Daihatsu Move
Daihatsu, rakan teknikal Perodua turut menampilkan beberapa konsep EV di atas pentas.
Antara yang menarik ialah Daihatsu Copen Concept yang nampak seperti Copen yang sekarang ini.
Ia juga ada beberapa van elektrik yang comel tetapi yang menarik perhatian ramai ialah Daihatsu Move 2025 yang telah dijual di Jepun.
Kei-Car generasi ketujuh ini menggunakan pintu belakang jenis gelungsur (sliding) dan papan pemuka yang membuatkan Perodua Kenari kelihatan seperti sebuah kenderaan tahun 1980an.
Enjin 658cc dengan transmisi CVT dan hanya dijual di pasaran Jepun.
Jika kerajaan Malaysia membenarkan kenderaan dari pasaran Jepun (JDM) masuk tanpa perlu piawaian homologasi UN ECE, pastinya Move ini boleh dibawa masuk oleh Perodua sebagai ganti Kenari.
Kenderaan kecil ini cukup sesuai untuk pemanduan urban dan persekitaran rumah. Ia juga cekap tenaga dan kurang mencemarkan.
Lexus LS Concept
Jika dahulu Lexus LS ialah sebuah limosin, kali ini Lexus mahu menukar naratif tersebut.
LS Concept yang dipertontonkan di TMS 2025 ialah sebuah van mewah dengan enam roda.
Dengan dua gandar di belakang, ia membolehkan Lexus meletakkan roda-roda yang lebih kecil agar membuka ruang yang lebih besar untuk kabin.
Dengan tiga barisan tempat duduk, Lexus LS memuatkan tujuh orang dengan selesa.
Adakah ia akan dijual ke pasaran? Hanya waktu yang menentukan.
Toyota Century
Jika Lexus selama ini berada di atas takhta paling tinggi dalam produk Toyota, ia kini terpaksa memberi ruang untuk Century kerana kali ini, Toyota sudah mahu membawa Century ke dunia luar dari Jepun untuk bersaing dengan jenama-jenama mewah Eropah.
Konsep Century yang diperkenalkan ini direka untuk menandingi jenama-jenama seperti Bentley dan Rolls-Royce.
Sebelum ini, Century hanya dikenali sebagai sebuah limosin bentuk klasik yang digunakan oleh Perdana Menteri Jepun dan golongan bangsawan di sana.
Dua tahun lalu, Century muncul dengan model crossover untuk dijual kepada pasaran elit di Jepun sahaja dan sebelum itu, dalam tahun 2018, Century juga melancarkan sebuah sedan mewah, juga untuk pasaran domestik.
Kini, Toyota bakal melancarkan Century yang ternyata lebih berdaya saing untuk pasaran global. Konsep One of One ini ialah sebuah SUV ultra mewah dengan pintu gelungsur dan tempat penumpang di belakang pemandu.
Ia adalah satu konsep berani dari Toyota kerana jenama Bentley dan Rolls-Royce bukannya bercerita tentang kualiti dan mutu sahaja, tetapi lebih kepada jenama berprestij.
Adakah Century mempunyai prestij yang cukup untuk memaksa bangsawan global membelinya?
Kita tunggu dan lihat.
Adakah ini pameran automotif terbaik dari Jepun?
Semestinya tidak.
Pameran automotif Tokyo sekarang masih tidak segah zaman sebelum Covid-19. Ia terus mengecil selepas China muncul sebagai kuasa baharu di dalam dunia automotif.
Jepun masih lagi mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ walaupun pameran kali ini menampakkan hasil yang lebih baik dari tahun 2023.
Syarikat kenderaan Jepun tahu bahawa ekosistem adalah lebih penting dari produk itu sendiri dan mungkin mereka sedang menunggu untuk pasaran kenderaan dari China melalui kitaran penuh.
Buat masa sekarang, syarikat dari China menarik perhatian ramai kerana produk yang nampak cantik, penuh dengan jajan-jajan dan harga yang lebih rendah.
Ujian sebenar hadir dalam bentuk pengalaman pemilikan dan susut nilai. Ramai akan serik jika kenderaan yang dibeli mempunyai nilai yang terlalu rendah selepas lima tahun.
Mungkin itu yang ditunggu oleh Jepun kerana syarikat dari China memang tidak langsung menunjukan minat untuk menguatkan nilai jual balik kenderaan mereka.
Apapun, kita lihat adakah China mampu lulus ujian kitaran penuh itu dan adakah Jepun sanggup menunggu sebegitu lama. – UTUSAN










