Systech, Microlink perkenal infrastruktur GPUaaS generasi akan datang - Utusan Malaysia

Systech, Microlink perkenal infrastruktur GPUaaS generasi akan datang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Systech Bhd dan Microlink Solutions Bhd melancarkan infrastruktur GPU-sebagai-Perkhidmatan (GPUaaS) generasi akan datang yang dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan kecerdasan buatan (AI) di negara ini.

Kerjasama strategik itu dimeterai antara anak syarikat Systech, Systech Digital Solutions Sdn. Bhd. (dahulunya Wilstech Sdn. Bhd.) dan anak syarikat milik penuh Microlink, Applied Business Systems Sdn. Bhd. (ABS).

Melalui perjanjian tersebut, kedua-dua pihak akan membangunkan penyelesaian GPUaaS berskala perusahaan menggunakan pelayan berprestasi tinggi Supermicro yang dikuasakan cip NVIDIA.

ABS, sebagai pengedar sah Supermicro di Malaysia, akan membekalkan dan menyelenggara infrastruktur GPU berkenaan, manakala Systech Digital bertanggungjawab terhadap pemasangan, integrasi serta pentauliahan perkhidmatan GPUaaS termasuk penyelidikan dalam bidang AI, pengkomputeran kuantum dan teknologi hijau.

Pengarah Eksekutif Systech Bhd., Jonathan Lim Ying Ran berkata, pelancaran tersebut melambangkan komitmen syarikat untuk membina asas pengkomputeran AI yang kukuh di Malaysia.

“Pelancaran infrastruktur GPUaaS ini bukan sekadar peningkatan teknologi, tetapi komitmen kami untuk memacu masa depan Malaysia berasaskan AI.

“Dengan sokongan Microlink serta pelayan Supermicro berkuasa tinggi, kami membina tulang belakang pengkomputeran yang akan memperkasa sektor awam dan swasta,” katanya dalam Majlis Menandatangani Perjanjian di antara kedua-dua syarikat, hari ini..

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Microlink Solutions Bhd., Wong Kwang Chwen berkata, kerjasama tersebut membuktikan keupayaan peneraju teknologi tempatan dalam menawarkan penyelesaian digital bertaraf dunia.

“Melalui ABS, kami berbangga dapat membekalkan teknologi pelayan global Supermicro digabungkan dengan penyelesaian NVIDIA. Ia sejajar dengan aspirasi negara untuk membangunkan ekonomi digital yang berdaya saing,” katanya.

Perkhidmatan GPUaaS Systech membolehkan pelanggan mengakses sumber GPU secara on-demand tanpa memerlukan pelaburan awal yang tinggi dalam perkakasan.

Kemudahan ini dijangka mempercepatkan penggunaan AI dalam pelbagai sektor termasuk kewangan, kesihatan, pendidikan, keselamatan siber dan pembuatan pintar, seiring dengan aspirasi MyDIGITAL serta Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIR).

Selepas pelancaran ini, Systech akan memperluas kerjasama dengan rakan ekosistem strategik serta menaik taraf infrastruktur GPU bagi memenuhi permintaan terhadap pengkomputeran berprestasi tinggi, selamat dan cekap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN