Syarikat bumiputera mampu terajui industri masa hadapan - Utusan Malaysia

Syarikat bumiputera mampu terajui industri masa hadapan

HANIFAH Hajar Taib (tengah) merasmikan Forum dan Pameran Inovasi VentureTECH (VIFE) 2025 di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu meningkatkan keupayaan membina industri berteknologi tinggi dalam usaha melahirkan syarikat bumiputera tempatan yang mampu bersaing di peringkat serantau dan global.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, tiga keutamaan utama perlu diberi penekanan, iaitu memastikan Malaysia mencipta teknologi baharu, membangunkan industri berkeupayaan mendalam dengan komitmen jangka panjang, serta memupuk syarikat yang boleh meluaskan operasi melepasi sempadan negara.

“Syarikat bumiputera mesti mengambil bahagian dan turut memimpin dalam rantaian nilai. Mereka perlu menjadi pencipta teknologi yang akhirnya berkembang sebagai juara serantau dan global,” katanya ketika merasmikan Forum dan Pameran Inovasi VentureTECH (VIFE) 2025 di sini, hari ini.

Hanifah berkata, usaha memperkukuh penyertaan bumiputera dipacu melalui Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA 35) yang memberi tumpuan kepada sektor berorientasikan masa hadapan seperti teknologi hijau, pendigitalan, keselamatan siber, bioteknologi, teknologi perubatan dan kejuruteraan lanjutan.

Katanya, pelaksanaan PuTERA 35 memerlukan pendekatan sistematik untuk membina keupayaan, kepimpinan, penerimaan teknologi dan akses pasaran.

“Ekosistem sedang disusun semula bagi memastikan syarikat Bumiputera dapat berkembang maju pada peringkat tertinggi rantaian nilai ekonomi.

“Oleh itu, perusahaan yang diterajui bumiputera, mesti memperoleh keupayaan yang lebih mendalam untuk mengambil bahagian dalam sektor bernilai tinggi yang menuntut kemahiran lanjutan dan pembangunan jangka panjang,” ujarnya. 

Sementara itu, Pengerusi VentureTECH, Datuk Ir. Khalilur Rahman Ebrahim berkata, pihaknya komited memperkukuh daya saing syarikat bumiputera melalui sokongan menyeluruh merangkumi pembangunan pengurusan, strategi pertumbuhan, akses pasaran dan pembinaan rangkaian global.

Jelasnya, VentureTECH bekerjasama rapat dengan syarikat penerima pelaburan di bawahnya untuk mengukuhkan keupayaan pengurusan, memperhalusi strategi pertumbuhan, membuka kunci akses pasaran dan membina perkongsian global yang menyokong daya saing jangka panjang

“Inisiatif tersebut telah menghasilkan portfolio pelaburan VentureTECH kini melebihi RM2.5 bilion, lebih 30 syarikat teknologi diterajui bumiputera telah menerima pelaburan,  lebih 3,600 pekerjaan berkemahiran tinggi berjaya diwujudkan serta produk dan perkhidmatan syarikat berkenaan kini menembusi lebih 30 negara.

“Pencapaian ini menghantar mesej jelas bahawa inovasi bumiputera bukan lagi muncul, tetapi sedang maju, memimpin dan menetapkan piawaian dalam pelbagai sektor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN