PETALING JAYA: Model serba baharu Jetour T2 menerima sambutan hangat di pasaran Malaysia dengan jumlah tempahan dan pertanyaan yang menggalakkan hanya dalam tempoh 48 jam selepas pengumuman harga anggaran.
Peningkatan ketara turut dicatatkan di pusat jualan Jetour di seluruh negara, menandakan keyakinan pengguna terhadap jenama itu yang semakin kukuh.
Naib Presiden JetourMalaysia Nicholas Ng berkata, sambutan luar biasa ini menunjukkan pelanggan Malaysia memahami dan menyokong falsafah Travel+ yang menjadi identiti jenama Jetour.
Jelasnya, pencapaian ini mendorong syarikat untuk terus memperkenalkan kenderaan yang memberikan keyakinan, keselesaan dan keupayaan terbaik bagi setiap perjalanan.
“Reaksi positif pasaran turut melambangkan daya tarikan rangkaian Suv Jetour yang semakin berkembang di Malaysia.
Selepas kejayaan pelancaran Jetour Dashing dan VT9 awal tahun ini, jenama tersebut terus menarik minat pelbagai golongan pemandu dengan gaya hidup berbeza.
“Sebagai model terbaharu dalam barisan kenderaan Jetour, T2 menandakan fasa seterusnya dalam pertumbuhan jenama ini dalam segmen suv yang kompetitif, sekali gus memperkukuh komitmen syarikat untuk menghasilkan kenderaan bagi pengembaraan tanpa batas,” katanya dalam kenyataan.
Jetour T2 kini dibuka untuk tempahan pada harga anggaran RM178,888 dan tempahan awal boleh dibuat di semua pengedar sah Jetour di Malaysia.
Pelanggan dijemput mengunjungi bilik pameran Jetour di seluruh negara untuk mengetahui lebih lanjut mengenai model ini serta aktiviti pelancaran yang bakal berlangsung. -UTUSAN










