CYBERJAYA: Pelaksanaan sistem e-Invois oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila lebih 106,000 pembayar cukai telah menggunakan sistem tersebut, dengan jumlah transaksi melebihi RM675 juta setakat ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata pencapaian tersebut mencerminkan kejayaan agenda pendigitalan hasil negara yang bukan sahaja mempercepat urusan percukaian, malah memperkukuh ketelusan dan integriti sistem kewangan awam.
“Langkah ini adalah satu lonjakan besar dalam transformasi sistem percukaian negara. Ia bukan sekadar tentang kecekapan, tetapi membina keyakinan rakyat terhadap keadilan dan ketelusan sistem cukai” katanya ketika Majlis Perasmian Sambutan Hari Inovasi dan Integriti HASiL 2025.
Menurutnya, kejayaan pelaksanaan e-Invois membuktikan kemampuan HASiL menggabungkan inovasi teknologi dengan nilai integriti dalam operasi harian.
Beliau berkata, HASiL bukan sekadar agensi pemungut cukai, tetapi menjadi tonggak penting dalam membina kepercayaan rakyat terhadap sistem kewangan kerajaan.
“Hasil negara bukan sekadar angka dalam laporan kewangan. Ia adalah sumber kepada pembangunan sekolah, hospital, jalan raya dan bantuan yang sampai kepada rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bahawa Sistem Taksir Sendiri (STS) duti setem akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2026, membolehkan pembayar duti menaksir sendiri kadar dan amaun duti setem.
“Pembaharuan ini menjimatkan masa, mempercepat proses dan memperkukuh kepercayaan terhadap sistem percukaian negara,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin. – UTUSAN

								
											








