MUKADIMAH
MALAYSIA menghasilkan antara 100 hingga 120 tan sisa sarung tangan nitril setiap bulan, sebahagian besarnya berakhir di tapak pelupusan atau dibakar.
Namun, di sebalik cabaran pengurusan sisa ini, tersembunyi potensi baharu untuk menjadikan bahan buangan industri sebagai sumber ekonomi dan rantaian nilai hijau yang mampan.
Bagi memahami bagaimana transformasi ini boleh berlaku, Wartawan Utusan Malaysia, SABRINA ZULKIFLI, menemu bual Pengasas dan Pengarah Geomax Rubber, STEVEN NG, yang berkongsi pandangannya tentang potensi ekonomi kitaran dalam industri getah tempatan.
UTUSAN: Bagaimana sisa sarung tangan nitril boleh ditukar menjadi sumber ekonomi baharu dan rantaian industri lestari?
STEVEN: Sisa sarung tangan bukan masalah, sebaliknya peluang untuk membina sempadan baharu pembuatan hijau Malaysia. Setiap bulan, lebih 100 tan sarung tangan nitril yang ditolak (rejected) dibuang, sedangkan ia diperbuat daripada getah nitril bermutu tinggi yang bernilai tinggi secara industri.
Melalui model kami, sisa ini boleh diproses semula menjadi eco-compound bagi kegunaan pembuatan kasut dan produk berasaskan getah lain. Jika kita membina ekosistem kitaran yang menghubungkan pengeluar sarung tangan, pengitar semula dan pembuat produk akhir, sisa dapat ditukar kepada rantaian nilai baharu yang mewujudkan pekerjaan hijau dan produk eksport mesra alam.
Dengan dasar sokongan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baru (NIMP) 2030 dan insentif hijau dalam Belanjawan 2026, Malaysia boleh melahirkan subsektor ekonomi kitaran berskala besar dan menjadi peneraju inovasi bahan lestari di rantau ini.
Bagaimana teknologi hijau Geomax menukar sisa sarung tangan nitril kepada kompaun getah mesra alam dan apa kelebihannya?
Kaedah kitar semula tradisional biasanya melibatkan penghancuran atau pembakaran yang sama ada memusnahkan nilai bahan atau menghasilkan pelepasan berbahaya.
Kami di Geomax membangunkan proses formulasi semula kimia berpaten yang menukar sisa sarung tangan nitril kepada kompaun getah mesra alam tanpa menghasilkan bahan toksik.
Kaedah ini mengekalkan kekuatan tegangan dan keanjalan asal bahan, menghasilkan pengganti getah dara yang tahan lama dan berprestasi tinggi.
Produk kami telah diuji serta diperakui dengan pensijilan SIRIM Eco-Label dan pematuhan Pendaftaran, Penilaian, Kebenaran dan Sekatan Bahan Kimia (REACH), yang mengesahkan tahap prestasi dan kelestarian alam sekitar.
Apa yang menjadikannya benar-benar lestari ialah kebolehsuaiannya dan inovasi ini membolehkan Malaysia menutup kitaran sisa industri sambil membuktikan bahawa pembuatan hijau boleh menguntungkan dan boleh dikembangkan secara komersial.
Sejauh mana model Geomax menyokong matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) negara di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Belanjawan 2026?
Usaha kami sejajar dengan Misi 3 NIMP 2030, yang memacu pembangunan industri mampan dan tahan iklim.
Setiap tan sisa yang kami proses mengurangkan pelepasan karbon dan aliran bahan ke tapak pelupusan.
Kami menukarkan sisa kepada kasut mesra alam di bawah jenama Fomula Eco Footwear, menunjukkan sisa boleh dijadikan produk pengguna bernilai ESG.
Model ini menyokong sasaran net-zero 2050 Malaysia dan Rangka Kerja Ekonomi Kitaran ASEAN, mengintegrasikan kelestarian dari pengurusan sisa hingga ke produk akhir.
Apakah cabaran utama Geomax dalam mengkomersialkan inovasi hijau ini?
Cabaran utama ialah menyeimbangkan penyelidikan berterusan dengan daya komersial serta memastikan kos pengeluaran efisien.
Fasa awal ini amat mencabar bagi mana-mana syarikat pemula hijau.
Bimbingan dan pembiayaan Cradle melalui Program Pelaburan Cradle (CIP SPRINT) sangat penting untuk kami beralih daripada prototaip kepada produk komersial.
Kerjasama dengan pengeluar sarung tangan pula memberi peluang ujian dan penambahbaikan.
Untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia, kejayaan bergantung kepada akses kepada pembiayaan, kepakaran dan pelanggan awal yang sanggup mencuba penyelesaian baharu.
Jelaskan peluang eksport terbesar bagi pengeluar hijau Malaysia dan bagaimana sisa sarung tangan boleh menjadi kelebihan?
Malaysia mempunyai asas kukuh dalam pengeluaran getah dan sarung tangan, memberi kelebihan dari segi bahan mentah, kepakaran dan infrastruktur.
Pasaran seperti Eropah dan Jepun kini menuntut bahan rendah karbon dan patuh ESG.
Dengan menukar sisa kepada produk seperti kasut, lantai dan kompaun industri, Malaysia boleh naik ke tahap eksport bernilai tambah.
Dengan sokongan insentif yang betul, kita boleh muncul sebagai hab serantau eksport getah lestari, menukar masalah sisa kepada peluang ekonomi.
Apakah hasil kerjasama Geomax dengan Ansell dalam mengitar semula sisa sarung tangan?
Kerjasama ini bermula daripada komitmen bersama terhadap pengeluaran lestari.
Ansell mahu penyelesaian praktikal untuk mengurus sisa pasca pengeluaran dan kami membantu menukar bahan tersebut kepada sandal mesra alam di bawah jenama ANSELL.
Inisiatif ini berjaya mengalihkan jumlah besar sisa dari tapak pelupusan serta mengurangkan pelepasan karbon.
Ia membuktikan bagaimana kerjasama antara korporat dan syarikat pemula boleh menjadikan kelestarian sebagai nilai komersial sebenar.
Bagaimana sokongan Cradle mempengaruhi pertumbuhan dan kredibiliti Geomax?
Penyertaan dalam program CIP SPRINT di bawah CGP5 Cradle menjadi titik perubahan.
Selain pembiayaan, Cradle memberi bimbingan strategik yang membantu kami memperkukuh model perniagaan dan menggandakan kapasiti pengeluaran.
Sokongan ini juga membuka pintu kepada pelabur dan rakan industri, serta memberi kami kredibiliti di pasaran.
Perjalanan bersama Cradle membuktikan ekosistem pemula Malaysia mampu melahirkan inovasi teknologi hijau bertaraf global. – UTUSAN









