Sime Darby Property catat untung bersih RM430.2j untuk 9 bulan pertama

Sime Darby Property catat untung bersih RM430.2j untuk 9 bulan pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) mencatatkan pertumbuhan empat peratus keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) berjumlah RM430.2 juta bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 September 2025.

Prestasi lebih baik ini disokong oleh fokus strategik terhadap campuran produk yang pelbagai dan permintaan pasaran yang berdaya tahan. 

Bagi tempoh sama, syarikat mencatatkan pendapatan sebanyak RM3.1 bilion, manakala keuntungan operasi (OP) dan keuntungan sebelum cukai (PBT) masing-masing ialah RM722.5 juta dan RM659.1 juta. 

Sementara itu, margin untung kasar (GP) meningkat kepada 34 peratus, melebihi julat panduan syarikat sebanyak 20 hingga 25 peratus, disokong oleh produk perindustrian bermargin tinggi dan kecekapan kos berterusan. 

Segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang terbesar syarikat, mencatatkan hasil sebanyak RM2.9 bilion dan PBT sebanyak RM624.2 juta, disokong oleh momentum jualan yang kukuh dan kemajuan pembangunan di tapak yang stabil merentasi perbandaran utama seperti Bandar Bukit Raja, City of Elmina, Serenia City, KLGCC Resort, dan Nilai Impian.

Sementara itu, segmen pelaburan dan pengurusan aset (IAM) turut mencatat prestasi yang kukuh, dengan pertumbuhan pendapatan 28 peratus kepada RM123.1 juta dan PBT berkembang lebih daripada 100 peratus kepada RM41.5 juta. 

Peningkatan ini didorong terutamanya oleh prestasi sub-segmen runcit yang kuat, menerusi Elmina Lakeside Mall dan KL East Mall, di samping pengurangan bahagian kerugian daripada usaha sama.

Bagi suku ketiga pula, Sime Darby Property merekodkan PATAMI sebanyak RM168.2 juta dan hasil sebanyak RM1.2 bilion.

Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata,  mencapai jualan sembilan bulan tertinggi, di samping meningkatkan keuntungan menunjukkan kekuatan dan daya tahan portfolio syarikat yang pelbagai, dengan segmen perindustrian menunjukkan prestasi yang amat baik.

Melihat ke hadapan, beliau berkata, syarikat kekal untuk mencapai sasarannya bagi 2025, didorong oleh permintaan stabil merentasi segmen produk utama, pengurusan kos yang berdisiplin, dan sumbangan berterusan daripada portfolio perindustrian dan pendapatan berulang.

“Kedudukan kewangan kami yang kukuh dan hala tuju strategik membolehkan kami memberikan nilai berterusan kepada semua pihak berkepentingan, di samping memberikan kami keyakinan untuk melaksanakan strategi jangka panjang kami. 

“Seiring dengan identiti jenama baharu ini, kami mempercepatkan evolusi kami menjadi untuk sebuah syarikat hartanah, memanfaatkan kekuatan kami dalam pembangunan perindustrian, memperkukuh portfolio pendapatan berulang kami serta menerajui agenda biodiversiti bandar,” katanya dalam kenyataan.-UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN