PETALING JAYA: Serai Group diumumkan sebagai pelanggan pertama yang menyertai program perintis Halal Hijau Standard Chartered Saadiq Malaysia, bagi mempercepat penerapan amalan halal dan mampan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara.
Program itu merupakan inisiatif yang disokong Kementerian Kewangan (MoF), Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Dunia, SME Bank dan Islamic Development Bank (IsDB), bagi membantu PKS membuat peralihan ke arah operasi rendah karbon sekali gus meningkatkan keupayaan bersaing dalam pasaran halal global.
Melalui penyertaan itu, PKS akan menerima beberapa sokongan termasuk latihan khusus mengenai peralihan hijau dan proses pensijilan halal, akses kepada perisian Pantas perisian kelestarian digital bagi menjejak dan mengurus jejak karbon, serta langganan perisian selama setahun yang dibiayai sepenuhnya oleh MoF.
Selain itu, peserta turut menerima bantuan teknikal daripada SME Bank dan IsDB, serta kemudahan pembiayaan hijau selepas melengkapkan pelaporan gas rumah kaca tahun pertama atau sepanjang tempoh program, tertakluk kepada kesediaan dan syarat ditetapkan.
Data karbon bulanan syarikat-syarikat peserta akan disediakan oleh Pantas dan dikongsi bersama Bank Dunia bagi memastikan pemantauan berterusan terhadap kemajuan dan impak program.
Ketua Pusat Kecemerlangan IsDB Kuala Lumpur, Samer Elesawi berkata, prinsip halal dan tayyib secara asasnya selari dengan matlamat pembangunan mampan, termasuk amalan seperti pertanian lestari, penjimatan air dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.
“Penerapan amalan mesra alam bukan sahaja meningkatkan ketahanan perniagaan halal, tetapi juga menambah nilai jangka panjang.
“Inisiatif Halal Hijau yang dijalankan bersama kerajaan Malaysia serta Bank Dunia memainkan peranan penting memperkasakan PKS dan ekosistem halal untuk melaksanakan penyelesaian mampan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Saadiq Malaysia, Bilal Parvaiz berkata, kerjasama dengan Pantas adalah selaras usaha kerajaan memperkukuh daya saing PKS serta memacu ekonomi halal negara.
“Kami mahu membantu PKS seperti Serai Group menjadi lebih kompetitif di peringkat global ketika mereka beralih kepada operasi lebih hijau melalui latihan dan alat kelestarian digital,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Serai Group, Hafizan Urif berkata, pengintegrasian prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) menjadi langkah semula jadi dalam strategi pertumbuhan syarikat.
“Sebagai jenama makanan dan minuman tempatan yang kukuh, kami sentiasa memastikan standard kualiti yang tinggi mengikut keperluan pensijilan halal. Program ini membantu kami berkembang dengan lebih bertanggungjawab dan mampan,” katanya.
Program Perniagaan Halal Hijau turut menjadi sebahagian daripada agenda negara bagi memacu amalan perniagaan bertanggungjawab terhadap alam sekitar, memperkukuh ekosistem halal dan menyokong komitmen Malaysia mencapai sasaran karbon sifar menjelang 2050. – UTUSAN










