PETALING JAYA: Semico Capital Berhad (Semico Capital) menandatangani perjanjian penjaminan bersama Affin Hwang Investment Bank Berhad (Affin Hwang) bersempena dengan tawaran awam permulaannya (IPO) yang bakal dilancarkan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).
Latihan IPO ini merangkumi terbitan awam sebanyak 92.7 juta saham biasa baharu, mewakili 25.7 peratus daripada modal saham diterbitkan yang diperbesarkan, serta tawaran untuk penjualan sebanyak 18 juta saham sedia ada, mewakili 5.0 peratus daripada modal saham diterbitkan yang diperbesarkan.
Selaras dengan perjanjian penjaminan tersebut, Affin Hwang bersetuju untuk menjamin keseluruhan 33 juta Saham Terbitan yang ditawarkan kepada Orang Awam Malaysia dan melalui Peruntukan Borang Merah Jambu.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Semico Capital, Tai Lee Chuen berkata, pemeteraian perjanjian penjaminan itu menandakan satu pencapaian penting bagi Semico Capital ketika bergerak ke arah penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Securities.
“Ia membuka ruang kepada fasa pertumbuhan seterusnya ketika kami berusaha mengukuhkan kedudukan pasaran dan memperluas capaian bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang di seluruh negara.
“Semico Capital dibina atas kepercayaan bahawa aktiviti bermain memperkayakan detik kekeluargaan dan mencipta memori yang berkekalan, satu kepercayaan yang membentuk perjalanan kami hingga hari ini.
“Melalui IPO ini, kami berhasrat untuk mengukuhkan perniagaan bekalan mesin arked dan hiburan sambil menaik taraf mesin sedia ada bagi menepati perubahan citarasa pengguna.
“Pada masa yang sama, kami bercadang memperluas portfolio permainan dan barangan koleksi bagi mencapai kumpulan pelanggan lebih luas, serta mengembangkan pasukan kami bagi menyokong pertumbuhan dijangkakan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Laporan Pasaran Bebas oleh Protégé Associates Sdn. Bhd., pasaran pusat hiburan keluarga dan pusat edutainment di Malaysia dijangka mencecah RM1.93 bilion menjelang 2029, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 9.5 peratus.
Momentum ini didorong oleh permintaan berterusan terhadap aktiviti riadah, disokong oleh pelancongan domestik yang kukuh serta usaha berterusan kerajaan untuk memperkasa industri pelancongan.
Beliau berkata, seiring melangkah ke hadapan, syarikat itu percaya pendekatan berorientasikan pelanggan akan terus memacu pertumbuhan jangka panjang ketika memasuki fasa baharu yang penuh potensi ini.
Daripada 92.7 juta saham terbitan, 18 juta akan ditawarkan kepada Orang Awam Malaysia melalui proses pengundian, 15 juta kepada pengarah, pekerja dan rakan niaga terpilih yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan (Peruntukan Borang Merah Jambu), manakala baki 59.7 juta akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Sementara itu, 18 juta saham tawaran akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Semico Capital dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities menjelang Januari 2026.
Affin Hwang bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Ejen Penempatan Tunggal dan Penjamin Tunggal untuk latihan IPO ini. – UTUSAN










