Sektor perbankan tempatan masih ada ruang pertumbuhan - Utusan Malaysia

Sektor perbankan tempatan masih ada ruang pertumbuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor perbankan Malaysia kekal kukuh dengan kedudukan kecairan yang sihat, sekali gus memberi ruang luas untuk terus menyokong pertumbuhan pinjaman dalam tempoh mendatang, kata CIMB Securities Sdn. Bhd.

Firma penyelidikan berkata, dengan tiada tanda-tanda pengetatan kecairan, bank-bank Malaysia kekal mempunyai ruang mencukupi untuk menyokong pertumbuhan pinjaman, berdasarkan nisbah pinjaman kepada dana (LFR) sebanyak 82.6 peratus setakat September 2025.

Katanya, pihaknya mengekalkan pendirian ‘neutral’ terhadap sektor perbankan Malaysia, namun dengan kecenderungan positif.

“Walaupun keterlihatan pendapatan semakin baik hasil sokongan faktor makro, pertumbuhan pinjaman yang lebih kukuh dan pemulihan pendapatan yuran, potensi kenaikan jangka pendek mungkin terhad oleh persekitaran margin faedah bersih (NIM) yang rendah lebih lama.

“Asas sektor kekal kukuh, disokong oleh penampan modal dan kecairan yang sihat (CET1: 14.5 peratus; nisbah liputan kecairan: 152 peratus ; rizab kerugian pinjaman: 130 peratus) yang menyediakan perlindungan kukuh terhadap risiko penurunan,” katanya dalam nota penyelidikan.

CIMB Securities berkata, pulangan atas ekuiti (ROE) dijangka kembali normal ke arah 11 peratus, manakala pengoptimuman modal berterusan (melalui pelarasan aset berwajaran risiko [RWA] Basel 3.1) menyokong pembayaran dividen mampan sebanyak 50 hingga 70 peratus.

“Secara keseluruhan, kami melihat keseimbangan antara momentum kredit dipacu makro dan kekuatan modal berbanding potensi terhad bagi kenaikan NIM,” jelasnya.

Sementara itu, firma berkata, keyakinan pasaran kembali pulih susulan arah makroekonomi dan ketidaktentuan perdagangan yang semakin jelas.

Jelasnya, momentum pinjaman perniagaan meningkat kepada 5.4 peratus tahun ke tahun (YoY) pada September 2025 (berbanding +5.2 peratus YoY pada Ogos 2025), didorong oleh pengembangan kukuh sebanyak 0.7 peratus bulan ke bulan (MoM) yang banyak disumbangkan oleh pinjaman pelaburan syarikat korporat besar.

“Pertumbuhan pinjaman perusahan kecil dan sederhana (PKS) yang merangkumi 19 peratus daripada jumlah pinjaman sistem perbankan terus mengatasi kadar pertumbuhan industri (September 2025: +8.1 peratus YoY).

“Pertumbuhan pinjaman isi rumah dalam sektor perbankan sedikit perlahan kepada 5.5 peratus YoY pada September 2025 berbanding 5.7 peratus YoY pada Ogos, mencerminkan penyederhanaan dalam segmen pembiayaan kenderaan, hartanah kediaman, peribadi dan kad kredit.

“Sektor ekonomi utama yang mencatat pertumbuhan kukuh termasuk kewangan dan insurans, hartanah, utiliti, pembuatan, maklumat/komunikasi serta runcit,” jelasnya.

Firma berkata, pihaknya lebih menggemari bank bersaiz sederhana hingga besar dengan keupayaan modal yang kukuh, disiplin kos, serta peningkatan sumbangan pendapatan bukan faedah.

Tambahnya, saham pilihan mereka adalah RHB Bank dengan saranan ‘beli’ pada harga sasarn (TP) RM7.80, Hong Leong Bank (beli; TP: RM22.45) dan Public Bank (beli; TP: RM4.90). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN