SD Guthrie raih untung bersih RM935 juta pada suku ketiga - Utusan Malaysia

SD Guthrie raih untung bersih RM935 juta pada suku ketiga

MOHAMAD HELMY OTHMAN BASHA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SD Guthrie Berhad (Guthrie) meraih keuntungan bersih bernilai RM935 juta pada suku ketiga 2025, meningkat 22 peratus berbanding RM766 juta yang direkodkan pada suku sama tahun sebelumnya.

Hasil bagi suku tersebut meningkat 2.7 peratus tahun ke tahun kepada RM5.41 bilion berbanding RM5.27 bilion.

Prestasi memberangsangkan itu didorong oleh harga purata minyak sawit mentah (CPO) dan isirung sawit (PK) yang lebih tinggi serta penambahbaikan produktiviti dalam operasi huluan kumpulan.

Keuntungan bersih bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025 pula melebihi RM2 bilion, meningkat 44 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Pencapaian tahun semasa (YTD) itu didorong oleh sumbangan kukuh berterusan daripada segmen huluan dengan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) meningkat 53 peratus tahun ke tahun, disokong pula oleh prestasi memberangsangkan dalam segmen Pembangunan Industri.

Pengarah Urusannya, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, harga CPO dijangka disokong oleh jangkaan kekurangan bekalan memandangkan industri memasuki kitaran pengeluaran rendah secara bermusim dalam minggu-minggu akan datang.

Ujarnya, walaupun daya saing harga minyak sawit berbanding minyak sayuran lain semakin mengecil, permintaan dijangka kekal kukuh, sejajar dengan komitmen Indonesia untuk melaksanakan mandat biodiesel B50.

“Namun, ketidaktentuan pasaran minyak sayuran dijangka berterusan berikutan cabaran makroekonomi, perubahan dasar dan peraturan, serta ketidakpastian perdagangan global.

“Dalam pada itu, berbekalkan momentum positif daripada segmen perniagaan baharu, Guthrie kini giat melaksanakan beberapa kerjasama strategik baharu yang berpotensi besar.

“Ini bagi mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam bidang Pembangunan Industri dan Tenaga Boleh Diperbaharui, dengan fokus jelas kepada pemaksimuman nilai aset tanah strategik miliknya,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, prestasi operasi huluan di Papua New Guinea (PNG), Kepulauan Solomon (SI) dan Malaysia turut menyumbang kepada peningkatan hasil pengeluaran tandan buah segar (FFB) kumpulan.

Segmen hilir iaitu SD Guthrie International (SDGI) juga merekodkan margin lebih tinggi dalam operasi pukal Asia Pasifik serta peningkatan permintaan produk di rantau Oceania, menghasilkan PBIT sebanyak RM154 juta pada suku ketiga, meningkat 18 peratus tahun ke tahun daripada RM130 juta pada suku sama tahun lalu.

Bagi segmen pembangunan industri pula menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dengan keuntungan hasil perkongsian jualan tanah kepada Eco Business Park 7 Sdn. Bhd. yang menyumbang kepada PBIT segmen ini sebanyak RM432 juta pada suku ketiga.

Ia merupakan usaha sama tiga pihak antara Guthrie, Eco World Development Group Berhad dan NS Corporation bagi membangunkan taman perindustrian bersepadu seluas 483.59 hektar di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN