SD Guthrie jual tanah bernilai RM814.78 juta di Johor - Utusan Malaysia

SD Guthrie jual tanah bernilai RM814.78 juta di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SD Guthrie akan melupuskan kira-kira 381.14 hektar tanah pegangan bebas yang terletak di Daerah Kulai, Johor Darul Ta’zim dengan jumlah sebanyak RM814.78 juta bagi membuka laluan kepada pembangunan perindustrian di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Menurut makluman SD Guthrie kepada Bursa Malaysia, tanah tersebut dicadangkan untuk dibangunkan sebagai sebuah kawasan perindustrian bersepadu dan terurus, lengkap dengan hab komersial sokongan yang akan dikenali sebagai Eco Business Park VIII.

Eco World Project Management Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat milik penuh EWDG, turut dicadangkan untuk dilantik sebagai pengurus pembangunan projek berkenaan.

Sementara itu, Permodalan Darul Ta’zim Sdn. Bhd. (PDT), SDGV dan EWDG selaku pemegang saham telah bersetuju untuk melanggan saham biasa dalam EBP8 mengikut terma Perjanjian Langganan Saham (SSA), dengan pecahan pegangan masing-masing sebanyak 10 peratus, 25 peratus dan 65 peratus.

Pembangunan itu dijangka akan dilaksanakan dalam tempoh kira-kira 10 tahun dengan nilai pembangunan kasar (GDV) awal sekitar RM 3.75 bilion.

Menurut SD Guthrie, deposit sebanyak 15 peratus akan diterima dalam tempoh 10 hari bekerja dari tarikh Perjanjian Jual dan Beli (SPA) dan jumlah berkenaan akan diurus serta diperuntukkan mengikut terma-terma yang ditetapkan dalam SPA.

Syarikat itu menjangkakan keuntungan pelupusan kira-kira RM526 juta dapat direkodkan dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

Pelupusan Tanah yang Dicadangkan dijangka dimuktamadkan menjelang separuh kedua tahun 2026, bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa serta keadaan pasaran semasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN