PETALING JAYA: CGS International menjangkakan perbelanjaan RM100 bagi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dapat meningkatkan Pertumbuhan Jualan Kedai Sama (SSSG) 99 Speed Mart Retail Holdings antara 2.0 hingga 5.0 peratus bagi tahun kewangan 2025 hingga 2026.
Langkah ini melibatkan kira-kira 2,000 cawangan syarikat itu dengan pengguna dijangka turut berbelanja lebih untuk produk lain di 99 Speed Mart.
Pemberian SARA RM100 tambahan pada Februari 2026 dijangka menjadi pemacu pertumbuhan utama bagi tahun kewangan 2026.
Firma penyelidikan berkata, dalam jangka panjang, pihaknya menjangkakan pertumbuhan hasil akan didorong oleh beberapa faktor utama.
“Ini merangkumi pembukaan 250 cawangan setahun, tertumpu di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, SSSG lebih tinggi melalui hasil kempen dan kepelbagaian produk serta pertumbuhan jualan pukal.
“Walaupun 99 Speed Mart berkembang ke China dengan 12 cawangan dirancang pada tahun kewangan 2026, kami percaya ia tidak akan menyumbang secara signifikan ketika menilai keberkesanan format cawangan 99 Speed Mart di China,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
CGS International turut menaikkan anggaran pendapatan sesaham teras (EPS) bagi tahun kewangan 2025 sebanyak 9.2 peratus, 2026 (11.2 peratus) dan 2027 (7.2 peratus).
“Kami juga menjangkakan Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) EPS bagi tahun kewangan 2024 hingga 2027 adalah 15.6 peratus.
“Pertumbuhan EPS pula dijangka disokong oleh pertumbuhan hasil melalui pembukaan cawangan, SSSG kukuh dan pertumbuhan jualan pukal serta margin kasar dan pendapatan faedah yang lebih tinggi.
“Kami juga mengunjurkan 99 Speed Mart meningkatkan pembayaran dividen, kerana pengumpulan baki tunai yang besar boleh menjejaskan pulangan atas ekuiti (ROE).
“Ini dengan baki tunai besar sebanyak RM1 bilion dan tiada hutang pada akhir suku ketiga tahun kewangan 2025, serta penjanaan aliran tunai bebas (FCF) lebih RM500 juta setahun pada tahun kewangan 2025 hingga 2027,” ujarnya.
Katanya, firma mengekalkan panggilan ‘reduce’ walaupun unjuran keuntungan yang lebih tinggi telah menaikkan harga sasaran (TP) menggunakan Model Pertumbuhan Gordon (GGM) kepada RM2.55. – UTUSAN










