PETALING JAYA: Kaunter teknologi dan pembinaan dijangka kekal menjadi pemacu utama kenaikan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menjelang hujung tahun berikutan minat belian yang berterusan.
Sebelum ini, penganalisis menjangkakan Bursa Malaysia mengekalkan momentum positif, dengan sasaran FBM KLCI sekitar 1,640 mata menjelang hujung tahun.
Profesor Madya di iCATS University College, Kuching, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, sektor teknologi, pembinaan serta perkhidmatan kewangan yang stabil mempunyai modal besar dan momentum kukuh dijangka memberi impak ketara kepada pergerakan indeks.
Menurutnya, antara kaunter yang berpotensi menyumbang kepada kenaikan itu ialah kaunter dalam sektor teknologi, termasuk Inari Amertron Berhad, Malaysian Pacific Industries Berhad, D&O Green Technologies Berhad, Greatech Technology Berhad dan Genetec Technology Berhad.
“Bagi sektor pembinaan ialah Gamuda Berhad, IJM Corporation Berhad , Sunway Construction Group Berhad, WCT Holdings Berhad, manakala sektor kewangan pula merangkumi Malayan Banking Berhad, Public Bank Berhad, CIMB Group Holdings Berhad dan Tenaga Nasional Berhad.
“Kaunter-kaunter ini mempunyai kapitalisasi besar atau momentum sektor yang kuat, sekali gus memberi impak ketara kepada pergerakan indeks KLCI,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada Jumaat lalu, kaunter Malaysian Pacific Industries melonjak 0.26 peratus kepada RM30.78, Inari Amertron ditutup pada RM2.42, manakala D&O Green Technologies turun 1.80 peratus kepada RM1.09.
Bagi kaunter syarikat pembinaan pula, Gamuda ditutup pada RM5.42 dengan kenaikan 0.37 peratus, IJM melonjak 0.40 peratus kepada RM2.49 dan Sunway Construction Group meningkat 1.22 peratus kepada RM5.80.
Selain itu, dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 0.40 sen kepada RM9.94, manakala CIMB susut 0.70 sen kepada RM7.46 dan Tenaga Nasional turun 0.40 sen kepada RM13.10.
Abu Sofian berkata, prestasi sektor-sektor ini juga dipengaruhi faktor global seperti kadar faedah, harga komoditi, sentimen rantaian bekalan serta pertumbuhan ekonomi global dan serantau.
“Sebarang penurunan kadar oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dijangka menggalakkan aliran dana ke pasaran Asia, manakala lonjakan harga keluli, simen dan tenaga boleh menekan margin syarikat pembinaan.
“Ketegangan geopolitik dan gangguan logistik pula berpotensi menjejaskan kesinambungan rantaian semikonduktor, manakala pemulihan ekonomi Asia dijangka menyokong permintaan eksport Malaysia, khususnya dalam komponen elektronik dan produk industri,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kaunter teknologi dan pembinaan terus menjadi pilihan pelabur dengan prestasi baik syarikat-syarikat yang disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia.
Jelasnya, kedua-dua industri itu sedang berkembang pesat seiring dengan perkembangan ekonomi semasa.
“Sektor pembinaan terus mencatat pertumbuhan dua digit setiap tahun dan suku tahun selepas tempoh pandemik melanda.
“Pelbagai projek mega pembinaan, seperti yang diluluskan oleh kerajaan menjadi pemangkin kepada pelbagai sektor ekonomi lain seperti logistik dan pengangkutan.
“Selain itu, kerancakan sektor pembinaan ini bukan sahaja disebabkan projek mega yang diluluskan kerajaan, tetapi juga pembinaan pusat data oleh para pelabur asing dalam industri teknologi.
“Secara langsung, ia mengembangkan rantaian nilai bekalan sektor teknologi, terutama permintaan sokongan atau vendor-vendor, terutamanya dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan,” ujarnya.
Tambahnya, dengan pelbagai andaian tentang pemotongan kadar faedah oleh Fed AS, ramai menjangkakan aliran keluar pelaburan dari negara itu ke pasaran ekuiti negara-negara lain di dunia, termasuk Malaysia.
“Ia turut merangkumi kaunter-kaunter teknologi Malaysia dalam sektor elektronik dan elektrik (E&E) serta semikonduktor.
“Perjanjian Timbal Balas Perdagangan Malaysia-AS (ART) yang ditandatangani oleh kedua negara telah mengecualikan sebarang tarif terhadap sektor semikonduktor ini, justeru meningkatkan nilai syarikat-syarikat tersebut,” katanya. – UTUSAN










