PETALING JAYA: PropertyGuru Group (PropertyGuru), syarikat teknologi hartanah (PropTech) terkemuka di Asia Tenggara mengumumkan pelantikan Vic Sithasanan sebagai Pengarah Urusan Malaysia berkuat kuasa serta-merta.
Dalam peranan baharunya, Vic akan menerajui pertumbuhan perniagaan pasaran Kumpulan di Malaysia, merangkumi PropertyGuru dan iProperty, serta memacu strategi untuk mengukuhkan nilai kepada pelanggan dan pengguna di samping memperkukuh kepimpinan kedudukan pasaran.
PropertyGuru berkata, Vic akan menyertai Pasukan Kepimpinan Eksekutif Kumpulan dan akan melapor terus kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Lewis Ng.
Katanya, pelantikan Vic menandakan satu pencapaian penting dalam transformasi kepimpinan PropertyGuru untuk memperkukuh pemilikan dan ketangkasan di peringkat negara.
“Peranan yang dipertingkatkan ini menandakan perubahan struktur syarikat daripada Pengurus Negara kepada Pengarah Urusan di pasaran utama bagi memacu impak yang lebih besar di peringkat tempatan.
“Dengan lebih dua dekad pengalaman kepimpinan, Vic membawa rekod pencapaian kukuh dalam pertumbuhan pasaran, inovasi digital, dan pengurusan pengalaman pelanggan. Beliau menyertai PropertyGuru dari SEEK, di mana beliau berkhidmat sebagai Pengarah Urusan untuk Singapura dan sebelum itu sebagai Pengarah Urusan untuk Malaysia.
“Sepanjang perkhidmatannya, Vic telah memacu pertumbuhan perniagaan yang konsisten dan memimpin transformasi digital serta komersial utama di kedua-dua pasaran tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum menyertai SEEK, Vic merupakan pengasas bersama Hyperlab, sebuah syarikat Kecerdasan Buatan ( AI) yang mengautomasi perbualan pelanggan untuk jenama-jenama utama.
Selepas pengambilalihan syarikat tersebut pada 2018, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Pertumbuhan dan memimpin pengembangan perniagaan ke Amerika Syarikat, Jepun dan pasaran-pasaran utama lain.
PropertyGuru turut mengumumkan bahawa Kenneth Soh, yang kini berkhidmat sebagai Pengurus Negara untuk Malaysia, akan meninggalkan kumpulan pada akhir Disember 2025.
Di bawah kepimpinan Kenneth, PropertyGuru Malaysia mencapai beberapa pencapaian besar termasuk pelancaran Verified Badge, satu inisiatif kepercayaan awam bagi membendung penipuan hartanah, serta penerusan integrasi dan PropertyGuru dan iProperty Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif, PropertyGuru Group, Lewis Ng berkata, pihaknya berbesar hati menyambut Vic ke PropertyGuru sebagai Pengarah Urusan Malaysia yang baharu.
“Rekod pencapaiannya dalam memacu pertumbuhan, membina pasukan berprestasi tinggi, dan menyampaikan inovasi berteraskan pelanggan menjadikannya pemimpin yang tepat untuk membawa perniagaan kami di Malaysia ke tahap seterusnya.
“Bagi pihak kumpulan, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kenneth atas dedikasi dan sumbangannya selama ini. Kepemimpinannya telah memainkan peranan penting dalam banyak kejayaan kami di Malaysia dan menyokong pertumbuhan perniagaan kami di sini.
“Kami mengucapkan selamat maju jaya dalam perjalanan kerjaya seterusnya,” katanya.
Pengarah Urusan, Malaysia, PropertyGuru, Vic Sithasanan berkata, landskap hartanah Malaysia sedang berubah dengan pesat dan bersemangat untuk memimpin PropertyGuru dan iProperty ke fasa pertumbuhan seterusnya.
“Bersama-sama, kita akan terus berinovasi, meningkatkan ketelusan dan membina kepercayaan yang lebih kukuh dalam ekosistem ini bagi membolehkan rakyat Malaysia membuat keputusan hartanah dengan lebih yakin serta membantu rakan kongsi berkembang dalam pasaran yang semakin digital dan saling berhubung,” katanya. -UTUSAN










