PNB Merdeka Ventures terbit sukuk lestari korporat terbesar ASEAN bernilai RM6 bilion - Utusan Malaysia

PNB Merdeka Ventures terbit sukuk lestari korporat terbesar ASEAN bernilai RM6 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PNBMV), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), berjaya menerbitkan Sukuk Wakalah Merdeka Lestari bernilai RM6 bilion, menjadikannya terbitan Sukuk Lestari korporat terbesar di ASEAN.

Terbitan sulung itu dilaksanakan di bawah Program Sukuk Wakalah Merdeka bernilai nominal sehingga RM6 bilion, sebagai sebahagian strategi kepelbagaian pembiayaan syarikat.

Menurut kenyataan, transaksi ini turut mencatat beberapa pencapaian penting termasuk terbitan Sukuk Lestari terbesar oleh sektor hartanah komersial di ASEAN, Sukuk denominasi ringgit terbesar, serta terbitan tunggal Sukuk Lestari korporat bertaraf AAA terbesar dalam ringgit.

“Proses pembukuan dijalankan pada 16 Oktober lalu dengan saiz terbitan asas RM5.5 bilion dan tambahan RM500 juta bagi tranche tempoh matang 20 tahun yang ditawarkan secara penempatan persendirian.

“Pada kemuncaknya, buku pesanan mencatat nisbah bidaan 1.17 kali, sekali gus membolehkan jumlah terbitan dinaikkan kepada RM6 bilion.

“Terbitan ini menarik minat lebih 40 pelabur termasuk syarikat berkaitan kerajaan, institusi kewangan, pengurus aset dan syarikat insurans.

“Kadar keuntungan akhir ditetapkan antara 3.64 peratus hingga 4.11 peratus bagi tempoh matang antara 5 hingga 20 tahun, dengan kadar purata berwajaran 3.83 peratus, jauh lebih rendah berbanding kos pembiayaan Sukuk tanpa penarafan yang diterbitkan PNBMV pada 2017,” katanya.

Kejayaan ini mencerminkan keyakinan kukuh pasaran terhadap kekuatan profil kredit PNBMV dan daya komersial projek Merdeka 118, selain menonjolkan nilai tambah aspek kelestarian dalam terbitan tersebut.

Program Sukuk Wakalah Merdeka yang menerima penarafan jangka panjang AAA IS dengan prospek stabil oleh MARC Ratings Berhad merupakan sebahagian daripada strategi pembiayaan jangka panjang PNBMV bagi mengoptimumkan struktur dan kos keseluruhan pembangunan Merdeka 118.

Dana yang diperoleh akan digunakan untuk membiayai semula Sukuk tanpa penarafan sedia ada serta membiayai pembangunan berterusan projek tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif PNBMV, Datuk Tengku Ab Aziz Tengku Mahmud berkata, sambutan menggalakkan daripada pelabur membuktikan keyakinan terhadap potensi jangka panjang presint Merdeka 118 sebagai simbol kebanggaan negara dan pemangkin pertumbuhan ekonomi Kuala Lumpur.

“Kejayaan terbitan ini mengukuhkan keyakinan pasaran terhadap keupayaan kami serta aspirasi membentuk pembangunan berimpak kekal yang memperkasa komuniti, memperkukuh identiti negara dan meninggalkan legasi bermakna kepada generasi akan datang,” katanya.

Pada Ogos lalu, PNBMV menerima penilaian Impak Emas daripada MARC Solutions Sdn. Bhd. bagi Kerangka Pembiayaan Mampan yang dikemas kini, selaras dengan taksonomi kelestarian ASEAN (Versi 3) dan sasaran PNB untuk mencapai Perusahaan Sifar Bersih menjelang 2025 serta Portfolio Sifar Bersih menjelang 2050.

Dipacu oleh Menara Merdeka 118 setinggi 678.9 meter, presint itu terus berkembang sebagai destinasi bertaraf dunia yang menggabungkan komponen komersial, hospitaliti, runcit dan kebudayaan di bawah inisiatif Warisan KL.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank Berhad, Nor Masliza Sulaiman berkata, pelaksanaan serentak terbitan Sukuk Lestari dan pengurusan liabiliti strategik terbesar dalam pasaran modal Islam domestik sejak 2022 membuktikan kekuatan kredit PNBMV serta kepentingan Merdeka 118 sebagai simbol pembangunan bandar mampan Malaysia.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Berhad, Michael Oh Lau menyifatkan transaksi berskala besar bertaraf AAA itu sebagai penanda aras baharu bagi pasaran modal hutang tempatan, yang memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju kewangan Islam dan kelestarian di rantau ini.

“Permintaan kukuh terhadap Sukuk ini membolehkan PNBMV mencapai kadar pulangan teradun rendah sebanyak 3.83 peratus dengan tempoh matang sehingga 20 tahun,” katanya.

Pencapaian terbitan Sukuk ini menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha PNBMV memacu pembangunan bandar mampan serta menjana nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan.

CIMB Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama Bersama, Pengatur Utama Bersama, Pengurus Utama Bersama serta Penasihat Struktur Kelestarian Bersama bagi Program Sukuk Wakalah Merdeka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN