PETALING JAYA: Petronas melantik Datuk Seri (TPr) Dr. Maimunah Mohd Sharif sebagai Penasihat Hartanah berkuat kuasa 17 November 2025 bagi memperkukuh strategi pembangunan dan pengurusan portfolio hartanah syarikat.
Pelantikan tokoh berpengalaman lebih empat dekad dalam pembangunan bandar mampan itu akan memacu fasa pertumbuhan baharu aset hartanah Petronas, termasuk projek di tanah Sungai Besi dan pembangunan Kota Madani.
Petronas dalam kenyataan berkata, Maimunah sebelum ini ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur dan pernah menerajui beberapa jawatan utama dalam serta luar negara, termasuk Presiden wanita pertama Majlis Perbandaran Seberang Perai dan Datuk Bandar Pulau Pinang.
Di peringkat antarabangsa, beliau mencipta sejarah sebagai wanita Asia pertama dilantik sebagai Setiausaha Agung Penolong dan Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat), selain pernah memangku jawatan Ketua Pengarah Pejabat PBB di Nairobi.
Petronas berkata, sepanjang kerjayanya, beliau turut menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Kepimpinan di World Smart City Awards (Barcelona) dan Anugerah Kepimpinan Terbaik kategori Bandar oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Kami yakin kepakaran dan pengalaman luas beliau akan menjadi nilai tambah kepada hala tuju syarikat dalam pembangunan hartanah strategik,” katanya. – UTUSAN










