Petronas, Eni tubuh syarikat usaha sama huluan serantau

Petronas, Eni tubuh syarikat usaha sama huluan serantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan syarikat tenaga global, Eni, melalui anak syarikat masing-masing menandatangani perjanjian pelaburan bagi menubuhkan sebuah syarikat usaha sama huluan serantau. 

Langkah penting ini menandakan kemajuan besar bagi usaha pertama Petronas dalam model perniagaan satelit bagi mempercepatkan pembangunan sektor huluan di Malaysia dan Indonesia.

Usaha sama tersebut akan menggabungkan aset-aset huluan berimpak tinggi di lembangan hidrokarbon utama di Malaysia dan Indonesia. 

Dengan memanfaatkan kekuatan Petronas dan Eni dalam portfolio, kepakaran teknikal serta pandangan serantau, syarikat huluan baharu ini dijangka membuka peluang besar bagi pertumbuhan pesat dalam penciptaan nilai, prestasi operasi dan keselamatan tenaga di rantau ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, kerjasama bersejarah ini dijangka menjadi penanda aras baharu bagi pembangunan sektor huluan yang lebih cekap, menjimatkan kos dan bertanggungjawab. 

“Penerapan model perniagaan inovatif dan terbukti ini mengukuhkan komitmen teguh Petronas untuk menyokong aspirasi tenaga di peringkat nasional dan serantau.

“Dalam pada itu, ia membuka laluan bagi kami untuk menyampaikan nilai yang lebih besar dan mampan kepada pelanggan, negara tuan rumah, sektor huluan secara keseluruhan serta semua pihak berkepentingan,” katanya.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Upstream, Mohd Jukris Abdul Wahab yang mewakili Petronas dan Ketua Pegawai Operasi Sumber Asli Global serta Pengurus Besar Guido Brusco yang mewakili Eni. 

Majlis menandatangani perjanjian itu turut disaksikan oleh Tengku Muhammad Taufik serta Ketua Pegawai Eksekutif Eni, Claudio Descalzi.

Tambahnya Petronas, usaha sama ini menyokong aspirasi gas kedua-dua syarikat dan melengkapi perniagaan Petronas lain yang telah mantap di Indonesia di luar skop usaha sama tersebut, sekali gus membuka peluang baharu untuk pertumbuhan dan inovasi dalam sektor tenaga.

Tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan di Malaysia, Indonesia dan bidang kuasa lain yang relevan serta keperluan persetujuan rakan kongsi dan/atau hak pre-empition, syarikat usaha sama baharu ini dijangka ditubuhkan pada tahun 2026. 

Keutamaan Petronas adalah untuk terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan termasuk pekerja, pihak berkuasa tuan rumah, rakan kongsi dan komuniti setempat bagi memupuk industri yang lebih dinamik dan menyumbang kepada aspirasi tenaga pihak yang dilayani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN