PETALING JAYA: Westports Holdings Bhd dijangka berdaya tahan bagi tahun kewangan 2025, disokong oleh momentum perdagangan serantau yang kukuh serta aktiviti pemindahan kapal yang stabil di tengah ketidaktentuan global, kata RHB Investment Bank Bhd.
Bank pelaburan berkata, permintaan kontena global serta ekonomi pengguna utama kekal berdaya tahan walaupun berdepan beberapa risiko luaran termasuk potensi kesan penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan kesan tertangguh daripada perubahan tarif perdagangan terkini.
Katanya, daya dinamik ekonomi Asia, kepelbagaian perdagangan serantau dan model operasi pakatan perkapalan utama dijangka terus menyokong aktiviti pelabuhan.
“Kami mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap saham Westports dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM5.14 sesaham, mencerminkan potensi kenaikan satu peratus dan hasil dividen tahun kewangan 2026 sebanyak 4.4 peratus.
“Imbangan risiko dan pulangan kekal seimbang memandangkan pendedahan syarikat terhadap pasaran intra-Asia yang besar serta profil pendapatan yang stabil,” katanya dalam nota penyelidikan.
Bagi suku ketiga tahun kewangan 2025 (3Q25), Westports mencatat hasil operasi sebanyak RM667 juta, meningkat 9.7 peratus berbanding suku sebelumnya dan 16.4 peratus tahun ke tahun.
Ini menjadikan jumlah hasil bagi sembilan bulan pertama sebanyak RM1.9 bilion, naik 11.9 peratus tahun ke tahun.
Keuntungan teras juga meningkat kepada RM273 juta, melonjak 19.8 peratus tahun ke tahun, disokong oleh jumlah muatan lebih tinggi dan pelarasan tarif 15 peratus yang mula berkuat kuasa pada Julai.
RHB mengekalkan unjuran pendapatan dan pertumbuhan kontena syarikat, sambil menegaskan bahawa penilaian semasa Westports pada 17 kali unjuran nisbah harga kepada pendapatan (P/E) tahun kewangan 2026.
Tambahnya, risiko utama termasuk jumlah muatan lebih rendah daripada jangkaan dan peningkatan kos operasi, manakala peningkatan aktiviti perdagangan serantau dan kecekapan kos boleh menjadi pemangkin positif kepada prestasi syarikat. – UTUSAN










