Pertumbuhan pinjaman diunjur 5.7% pada 2025

Pertumbuhan pinjaman diunjur 5.7% pada 2025

TA Securities mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor perbankan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: TA Securities mengekalkan unjuran pertumbuhan pinjaman keseluruhan bagi tahun 2025 pada 5.7 peratus, disokong oleh peningkatan kukuh dalam pinjaman pengguna sebanyak 6.3 peratus dan pinjaman perniagaan sebanyak 4.9 peratus. 

Firma penyelidikan berlata, pihaknya mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor perbankan dengan keyakinan bahawa industri kekal berdaya tahan dari segi kualiti aset, keupayaan menyokong aliran kredit serta kestabilan pendapatan.

Katanya, jumlah pinjaman keseluruhan meningkat 5.5 peratus tahun ke tahun (YoY) dan 0.5 peratus bulan ke bulan (MoM) pada September 2025, menunjukkan momentum kredit yang berterusan dalam sistem perbankan. 

“Pinjaman pengguna dan perniagaan masing-masing meningkat 5.5 peratus YoY dengan pinjaman perniagaan melonjak daripada 5.0 peratus pada Ogos, disokong oleh permintaan kukuh terhadap pembiayaan modal kerja yang naik 3.8 peratus YoY.

“Dari segi sektor, pertumbuhan pinjaman diterajui oleh bekalan elektrik, gas, stim dan pendingin udara (+29.6 peratus), diikuti maklumat dan komunikasi (+16.6 peratus), kewangan, insurans dan aktiviti perniagaan (+14.7 peratus), bekalan air, kumbahan dan sisa (+10.4 peratus) serta pembuatan (+5.9 peratus). 

“Walaupun beberapa segmen seperti pendidikan, kesihatan, pembinaan dan pertanian mencatatkan penyusutan, momentum keseluruhan kekal kukuh merentasi kebanyakan industri utama,” ujarnya.

TA Securities berkata, aktiviti pasaran modal kekal rancak pada September 2025, dengan jumlah dana bersih yang dikumpul sektor swasta melalui terbitan saham dan sekuriti hutang mencecah RM124.4 bilion.

Katanya, ini merangkumi RM4.36 bilion melalui terbitan saham baharu dan RM120.1 bilion melalui sekuriti hutang baharu, menunjukkan keyakinan berterusan pelabur terhadap pasaran modal tempatan.

Dalam segmen isi rumah, pinjaman meningkat 5.5 peratus YoY, sederhana berbanding 6.3 peratus tahun sebelumnya, namun kekal disokong oleh pinjaman perumahan yang mewakili sekitar 63 peratus daripada jumlah pinjaman isi rumah. 

“Pertumbuhan pinjaman perumahan meningkat 6.1 peratus YoY, manakala pinjaman hartanah bukan kediaman naik kepada 4.1 peratus berbanding 3.9 peratus tahun lalu,” jelasnya

TA Securities berkata, sistem perbankan Malaysia kekal kukuh dengan nisbah modal teras (CET1) pada 14.2 peratus dan nisbah modal keseluruhan pada 17.9 pratus, disokong oleh kecairan sistem yang mencukupi serta prospek pertumbuhan kredit yang mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN