PETALING JAYA: Pembayaran rentas sempadan ASEAN menggunakan kod Respons Pantas (QR) mencatatkan lonjakan ketara apabila 12.9 juta transaksi direkodkan pada separuh pertama 2025, menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata, perkembangan ini membuka ruang kepada peluasan lebih besar apabila lebih banyak pautan pembayaran antara negara sedang diteroka dan dilaksanakan bagi memperkukuh hubungan kewangan serantau.
“Dengan inisiatif seperti Project Nexus, yang turut diterajui Malaysia, rakan-rakan serantau kini semakin mengorak langkah dalam memajukan ekosistem pembayaran digital.
“Melalui penyambungan sistem pembayaran segera merentasi sempadan, Project Nexus membolehkan transaksi runcit berlaku hampir serta-merta,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Tahunan ke-48 Persekutuan Persatuan Ekonomi ASEAN di sini semalam.
Menurutnya, selain kelajuan dan kecekapan, Project Nexus turut berpotensi meningkatkan tahap inklusif kewangan.
“Ia membolehkan pekerja, usahawan mikro dan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan untuk turut serta secara bermakna dalam ekonomi yang lebih bersepadu tanpa memerlukan urusan perbankan yang kompleks, semuanya didorong oleh kewangan digital.
“Di luar aspek pembayaran digital, sektor kewangan juga meningkatkan usaha mempromosikan penyelesaian mata wang tempatan, serta memperkukuh hubungan perbankan dan pasaran modal bagi membantu perniagaan di rantau ini mencapai potensi sebenar mereka,” jelasnya.
Abdul Rasheed berkata, pada peringkat dasar Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (Defa) merupakan satu langkah berani ke hadapan.
“Dengan penyelarasan peraturan berkaitan tadbir urus data, e-pembayaran, identiti digital dan keselamatan siber, Defa sedang meletakkan asas kepada sebuah ekonomi digital tanpa sempadan yang direka bentuk untuk menjadi selamat, boleh berkembang dan inklusif.
“Usaha-usaha ini kini membuka lebih banyak peluang kepada jutaan orang untuk mengakses dan menikmati manfaat ekonomi digital,” katanya.
Dalam hal ini, katanya, Inisiatif untuk Integrasi ASEAN (IAI) terus memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang pembangunan di rantau ini.
“Dengan lebih 25 projek sedang berjalan, matlamatnya ialah memperkukuh kapasiti, meningkatkan infrastruktur dan mempromosikan keselarasan dasar dalam bidang yang paling diperlukan,” katanya. – UTUSAN










