PETALING JAYA: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dijangka mengukuhkan keyakinan sektor swasta dan pelabur terhadap hala tuju ekonomi negara, kata penganalisis.
Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, langkah itu memastikan kos pembiayaan projek kekal boleh dijangka, sekali gus memberi isyarat kestabilan kepada pelabur untuk meneruskan pelaburan jangka panjang.
“Apabila kadar pinjaman stabil, syarikat mempunyai kejelasan dalam merancang aliran tunai dan pembiayaan projek.Ini penting bagi memastikan kesinambungan pelaburan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan inisiatif Belanjawan 2026.
“Kestabilan kadar faedah menjadi faktor utama dalam mengekalkan momentum pelaburan sektor swasta,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Barjoyai berkata, dasar monetari yang tidak berubah secara mendadak menjadikan risiko kewangan bagi pelabur menjadi lebih rendah, sekali gus membolehkan syarikat terus melabur dalam kapasiti baharu, teknologi dan tenaga kerja.
Beliau menambah bahawa pelaburan domestik, khususnya dalam sektor pembuatan bernilai tinggi, tenaga boleh diperbaharui dan digitalisasi industri dijangka mendapat manfaat langsung daripada persekitaran kadar faedah yang stabil.
Mengulas mengenai isi rumah pula, beliau berkata, kadar pinjaman kekal stabil untuk pinjaman perumahan, kereta dan peribadi, manakala pemegang pinjaman kadar terapung tidak akan berdepan kenaikan ansuran.
Mengenai kesan terhadap sektor kewangan, Barjoyai berkata, bank dijangka menyesuaikan strategi mereka untuk mengekalkan keuntungan dalam persekitaran kadar stabil.
“Margin faedah bersih (NIM) yang lebih sempit akan mendorong bank mempelbagaikan sumber pendapatan melalui perkhidmatan digital, pengurusan kekayaan dan pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” ujarnya.
Tambahnya, kestabilan dasar juga memberi keyakinan kepada pasaran modal dan pelabur asing.
“Apabila risiko kadar faedah rendah, ringgit menjadi lebih stabil sekitar RM4.18 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus menggalakkan aliran masuk modal ke pasaran ekuiti dan bon tempatan,” jelasnya.
Barjoyai tidak menolak kemungkinan BNM menurunkan kadar pada 2026 sekiranya pertumbuhan ekonomi sederhana dan inflasi kekal rendah.
Khamis lalu, BNM membuat keputusan mengekalkan OPR pada 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) terakhir tahun ini.
Ini merupakan kali ketiga berturut-turut bank pusat mengekalkan kadar tersebut sejak Julai lalu, selaras dengan unjuran pasaran.
Sementara itu, TA Securities dalam nota penyelidikannya berkata, BNM mengambil langkah berhati-hati tetapi optimis terhadap pertumbuhan ekonomi, sambil menzahirkan kebimbangan mengenai ketidaktentuan dasar perdagangan.
Katanya, petunjuk terkini di Malaysia menunjukkan pertumbuhan suku ketiga yang lebih kukuh daripada jangkaan, disokong oleh permintaan domestik yang teguh, eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang berdaya tahan serta pemulihan pengeluaran komoditi.
“Menjelang 2026, perbelanjaan isi rumah dan perniagaan dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, diperkukuh oleh pasaran buruh yang stabil, peningkatan gaji serta langkah dasar yang menyokong,” ujarnya.
Firma penyelidikan berkata, BNM dijangka mengekalkan pendekatan yang berhati-hati dan bergantung kepada data dalam menentukan hala tuju OPR menjelang 2026, dengan memantau rapat trend inflasi bulanan, penunjuk permintaan domestik serta perkembangan monetari global.
“Pada tahap ini, kami mengekalkan pandangan asas bahawa OPR akan kekal stabil pada paras 2.75 peratus sepanjang 2026, memandangkan pendirian dasar semasa masih kondusif untuk menyokong pertumbuhan dalam keadaan inflasi yang terkawal.
“Namun begitu, pelarasan ke bawah tidak dapat diketepikan sekiranya momentum ekonomi Malaysia melemah atau jika faktor luaran membawa kepada kelembapan yang lebih ketara dalam aktiviti domestik,” jelasnya. – UTUSAN










