OPR diunjur kekal, pasaran saham, ringgit dijangka stabil - Utusan Malaysia

OPR diunjur kekal, pasaran saham, ringgit dijangka stabil

RINGGIT dijangka stabil sekiranya Kadar Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dan mata wang tempatan dijangka kekal stabil sepanjang tahun ini sekiranya Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) keenam, hari ini.

Semalam, pasaran saham tempatan dibuka rendah 1.26 mata kepada 1,622.24 berbanding 1,623.50 kelmarin, sebelum turun 1.95 mata pada 1,621.55 di akhir dagangan.

Ringgit pula dibuka pada 4.2000/2020 sedolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.1950/1985 ketika ditutup kelmarin, sebelum mengakhiri dagangan semalam lebih kukuh pada 4.1900/1940.

Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, Bursa Malaysia dijangka kekal dalam julat 1,580 hingga 1,610 mata, namun berpotensi menembusi paras 1,620 mata dengan keputusan OPR yang dikekalkan atau lebih longgar.

Ujarnya, prestasi positif pasaran saham tempatan turut disokong oleh asas ekonomi negara yang kukuh serta keyakinan terhadap prospek pertumbuhan pada suku ketiga tahun ini.

“Ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga diunjur sekitar 5.2 peratus, lebih tinggi daripada jangkaan awal. Ini memberi isyarat bahawa ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dan mampu menarik minat pelabur.

“Pasaran saham meneruskan momentum positif apabila indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat kepada 1,620 mata, disokong oleh sentimen pelabur yang optimis terhadap kestabilan dasar monetari dan pertumbuhan ekonomi domestik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pasaran serantau turut menunjukkan prestasi memberangsangkan, manakala FBM KLCI kini berada dalam fasa pemulihan, menandakan pelabur mula mengambil posisi lebih aktif menjelang keputusan rasmi kadar OPR.

“Momentum ini turut dipacu oleh aliran masuk dana asing, pemulihan sektor perbankan dan tenaga, serta jangkaan bahawa kestabilan kadar faedah akan terus memperkukuh sentimen pelabur tempatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit pula dijangka berlegar sekitar RM4.19 hingga RM4.20 susulan jangkaan pengekalan OPR.

Jelasnya, langkah itu disokong oleh unjuran bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed AS) akan terus menurunkan kadar faedahnya pada bulan-bulan akan datang, sekali gus merapatkan jurang kadar antara Malaysia dan AS.

“Perkembangan ini menjadikan ringgit lebih kompetitif kerana kadar faedah Malaysia dijangka kekal menarik kepada pelabur asing.

“Pada masa sama, langkah konsolidasi fiskal yang berterusan oleh kerajaan dijangka mengukuhkan kedudukan kewangan negara.

“Kestabilan fiskal ini berpotensi meningkatkan penarafan kredit Malaysia oleh agensi antarabangsa seperti Moody’s Investors Service, Standard & Poor’s Global Ratings (S&P) dan Fitch Ratings Inc., sekali gus menggalakkan kemasukan pelaburan asing dalam pasaran bon tempatan,” ujarnya. 

Tambahnya, aliran masuk modal asing tersebut akan menyokong pengukuhan nilai ringgit dalam tempoh jangka sederhana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN