OPR dijangka turun 25 mata asas pada suku kedua 2026

OPR dijangka turun 25 mata asas pada suku kedua 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar Dasar Semalaman (OPR) diunjur dipotong sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus pada suku kedua 2026, menurut CIMB Treasury and Markets Research.

Ahli Ekonomi Kanannya, Azri Azhar berkata, OPR pada kadar 2.75 peratus dijangka kekal pada suku pertama tahun depan berikutan permintaan luar diunjurkan terus menyederhana dan memerlukan sokongan dasar monetari.

Katanya, sektor luar Malaysia kekal berdaya tahan pada Oktober, dengan eksport meningkat 15.7 peratus tahun ke tahun (September: 12.5 peratus), disokong oleh peningkatan kukuh sebanyak 26.5 peratus tahun ke tahun dalam penghantaran elektrik dan elektronik (E&E).

“Eksport meningkat dengan ketara selepas tarikh akhir tarif pada Ogos, mencerminkan aliran perdagangan yang lebih jelas serta sokongan berterusan daripada penghantaran E&E sejajar dengan kitaran teknologi yang sedang berlangsung.

“Namun, penunjuk global terus berhati-hati. Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan merosot kepada 49.5 pada Oktober (September: 49.8), menandakan penyederhanaan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam nota penyelidikan.

Beliau berkata, eksport E&E Malaysia mengekalkan pertumbuhan kukuh dua angka sejak Julai, disokong oleh pemulihan kitaran teknologi global, yang berdasarkan indikator dijangka berterusan dalam tempoh enam bulan akan datang.

Katanya, penghantaran bukan E&E turut bertambah baik kepada 8.1 peratus tahun ke tahun (September: 6.9 peratus tahun ke tahun), didorong oleh output perlombongan dan pertanian.

“Namun, walaupun terdapat pemulihan baru-baru ini, penghantaran bukan E&E masih menguncup 1.6 peratus tahun ke tahun bagi tempoh 10 bulan pertama 2025. 

“Kelemahan kekal ketara dalam segmen utama termasuk minuman dan tembakau (6.6 peratus), mineral mentah (6.3 peratus), bahan api mineral (23.1 peratus), produk kimia dan berkaitan (5.6 peratus) serta barangan pembuatan (0.7 peratus).

“Seretan berterusan ini menonjolkan kerentanan lebih meluas dalam sektor luar ketika memasuki 2026,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, CIMB mengekalkan unjuran keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.5 peratus bagi 2025, kemudian sederhana kepada 4.1 peratus pada 2026. 

“Pertumbuhan pada suku pertama 2026 dijangka kekal kukuh, disokong oleh perbelanjaan perayaan dan pemindahan tunai RM100 pada pertengahan Februari yang dijangka membantu merangsang penggunaan swasta,” jelasnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN